Jasmine Suraya nak berpuasa sebulan




Walaupun bukan beragama Islam, pelakon Jasmine Suraya Chin mengambil keputusan untuk cuba berpuasa pada Ramadan kali ini.

Jasmine berkata, setakat ini dia seronok berpuasa dan tidak menyangka banyak perkara baik disedarinya tanpa disedari.

"Berpuasa ibarat detoks buat saya. Ini disebabkan, setiap kali memasak, tiba-tiba kesungguhan itu datang lebih kuat. Sewaktu puasa, saya mengidam banyak makanan untuk dimasak membuatkan perasaan itu lebih seronok. Paling mengujakan apabila tunggu masa hendak berbuka puasa.

"Saya juga rasa badan sangat bersih dan tidak pernah terfikir beginilah perasaan berpuasa. Selepas melakukannya sendiri, puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga," katanya.

Pelakon drama Adellea Sofea itu juga mengakui sangat rindu untuk berbuka puasa di luar bersama rakan-rakan.


"Ramadan tahun ini sememangnya sangat berbeza untuk kita semua. Biasanya saya akan masak sendiri juadah sahur dan berbuka, tapi ada masa pesan makanan dari luar juga.

"Rindu sebenarnya berbuka puasa di luar bersama kawan-kawan. Apatah lagi, banyak juadah yang saya tiba-tiba teringin nak makan namun reda saja dengan situasi yang kita hadapi sekarang," katanya.

Walaupun dalam fasa membiasakan diri, Jasmine nekad untuk cuba berpuasa penuh sehingga hujung Ramadan ini.

"Saya rasa pasti lebih menyeronokkan jika saya terus mencabar diri untuk berpuasa sehingga sampai hari terakhir Ramadan. Saya yakin apabila sudah disiplinkan diri, saya pasti mudah untuk lakukannya," katanya.

Previous Post Next Post