Tuah Adzmi Ekspresi jiwa dalam lagu




Selepas dikenali dengan beberapa lagu ciptaan sendiri seperti Raja Di Hati, Air Mata Rindu dan Insan Kau Cinta di YouTube, penyanyi Tuah Adzmi, 22, kini tampil dengan karya baru berjudul Kecewa.

Memuatkan penceritaan dalam lirik lagunya, Tuah masih selesa tampil dengan lagu bergenre balada yang menjurus pada kisah putus cinta yang menyakitkan.

Apapun, lirik video lagu Kecewa dimuat naik di YouTube sejak 9 April lalu dan kini mencatat tontonan lebih 90,000 kali dengan ratusan komen diberikan pendengar.

Rata-rata pelayar YouTube yang sudah mendengar lirik video lagu Kecewa itu amat menyukainya dan kagum dengan karya air tangan Tuah kerana disifatkan cukup ikhlas.

Berbicara mengenai lagu Kecewa, Tuah berkata, dia mempunyai harapan mahu melancarkan karya itu bersama video muzik secara serentak di YouTube. Namun, akur impiannya tak kesampaian.

“Saya sudah merakamkan lagu Kecewa pada Februari lalu dan bercadang penghasilan video muziknya pula dapat dilakukan sekitar Mac lalu.

“Bagaimanapun, disebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara dan perlu ditangani segera kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu.

“Justeru, segala perancangan saya untuk menghasilkan video muzik lagu Kecewa tidak menjadi kenyataan dan menganggap ia ketentuan takdir, katanya.


Tuah atau nama sebenar Arumi Nafis Mohd Adzmi mengakui tetap bersyukur apabila dia masih berpeluang melancarkan lirik video lagu Kecewa di YouTube.

“Apapun, jujur dari lubuk hati saya sedikit pun tidak menyalahkan situasi yang berlaku kerana penularan pandemik ini berlaku di seluruh dunia. Banyak negara yang terjejas kehidupan dan ekonomi.

“Saya syukur dan rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia dan percaya ada hikmah disebalik apa yang berlaku sekarang.

“Kini, saya berdebar untuk menerima maklum balas pendengar terhadap lagu Kecewa selepas lagu Insan Kau Cinta memahat nama saya di persada muzik arus perdana tanah air, katanya.

Mengakui dia seorang yang selesa mengekspresikan segala rasa di dalam lagu, Tuah berkata, penting baginya memastikan karya dicipta itu mempunyai jiwa yang dapat melekat di hati pendengar.

“Sebagai penyanyi dan pencipta lagu, saya sentiasa meletakkan harapan positif pada setiap karya dihasilkan. Apatah lagi, selaku komposer baru yang ingin menimba pengalaman.

“Walaupun sedar perlu berhadapan cabaran besar terutama apabila memikirkan lagu ciptaan diterima dan di mana arah tuju dipilih, saya tahu tidak mudah untuk berjaya, katanya.

Yakin bersemangat untuk terus berusaha, apa yang pasti sekarang Tuah berharap semua rakyat negara ini mematuhi PKP dilaksanakan sehingga 28 April depan.

Katanya, jangan ingkar arahan kerajaan dan teruskan duduk di rumah termasuk lebih kreatif melakukan pelbagai aktiviti bermanfaat.

Menurut Tuah, sekarang masa terbaik mengeratkan hubungan keluarga.


Previous Post Next Post