Izzue Islam Sayu beraya di kota




AIDILFITRI yang jatuh pada Ahad lalu disambut berbeza. Bagi pelakon dan penyanyi, Izzue Islam, ia disambut secara sederhana saja.

Seperti biasa, Izzue meraikannya bersama isteri tercinta, Awin Nurin dan kali ini hanya beraya di rumah.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri dalam normal baharu, baru-baru ini, Izzue berkata, mereka juga tidak membenarkan tetamu untuk berkunjung ke rumah mereka.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, kita kini perlu menjalani normal atau rutin baharu dan Aidilfitri juga perlu mengikut pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Jadi, untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini, saya memilih untuk tidak menerima tetamu. Alhamdulillah, keluarga dan saudara-mara pun faham dengan situasi sekarang," katanya.

Menurut Izzue, keputusan itu adalah sebagai salah satu langkah untuk mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

"Banyak perkara yang perlu dibimbangkan. Kalau kita sihat, kita tak tahu bagaimana keadaan kesihatan tetamu yang datang. Lebih membimbangkan sekiranya ada keluarga yang terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas. Mereka lebih berisiko berbanding orang muda. Lagipun Covid-19 bukan seperti wabak lain kerana ia tak dapat dilihat dengan mata kasar.

"Kalau demam denggi, kita tahu puncanya dari nyamuk aedes dan kita boleh nampak nyamuk itu. Covid-19 ini cerita dan cara penularannya berbeza. Saya tak mahu kita menjadi punca orang lain terkena jangkitan," katanya.

Izzue berkata, sekiranya sayangkan keluarga, banyak lagi cara lain untuk kita semua sentiasa berhubung.

"Memang tak dinafikan rasa sayu sangat apabila tak dapat kembali ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Namun, ini adalah satu situasi yang tidak pernah kita semua jangkakan.

"Dengan adanya teknologi seperti panggilan video dan sebagainya, sekurang-kurangnya kita masih dapat berhubung dengan keluarga walaupun dipisahkan dengan jarak," katanya.

Menurut Izzue, dia dan isteri sentiasa cuba sebaik mungkin untuk menukar persepsi bahawa perayaan tanpa keluarga atau kampung halaman adalah sesuatu yang perlu diratapi.

"Elakkan perkara yang mengundang kesedihan. Tukar persepsi itu kepada perkara positif. Bukan apa, kadang-kadang kalau kita terlalu bersedih pun, kita akan terjurus untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti melanggar undang-undang," katanya.

Walaupun berjauhan dari kampung halamannya di Kelantan, itu tidak menghalang Izzue untuk meneruskan tradisi dengan menyediakan juadah Aidilfitri.

"Ini juga salah satu cara untuk kita menghidupkan suasana perayaan. Seperti biasa, saya dan isteri menyiapkan rendang dan memesan beberapa juadah lain seperti lemang dan sebagainya.

"Sedikit sebanyak, itu dapat mengubat kerinduan kepada kampung halaman dan keluarga tercinta," katanya.

Bersempena Aidilfitri, wajah Izzue menghiasi kaca TV3 menerusi beberapa karya antaranya drama bersiri Nasi Kerabu Untuk Che Abe yang mengisi slot Akasia dan telefilem Hantu Penunjuk Jalan yang kedua-duanya ditayangkan kelmarin.

Previous Post Next Post