Janna Nick Kasihan Dini tak biasa gosip liar




Tasik hati pelakon, penyanyi dan pengacara, Janna Nick, 25, berkocak seketika apabila berita mendakwa berkahwin lari dengan kekasihnya, Dini Azan Schatzmann, 26, di Satul, selatan Thailand pada Jun tahun lalu tersebar.

Kisah kahwin lari hangat diperkatakan menerusi pendedahan seorang pengguna laman Twitter yang memuat naik keratan memaparkan maklumat peribadi Janna dan Dini.

Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran berhubung kontroversi itu. Enggan terus membiarkan spekulasi, aktres yang mencetuskan fenomena menerusi drama Syurga Nur dan Kau Aku Kita itu meleraikan tanda tanya.

Saat dihubungi, si pemilik nama lengkap, Nurul Janna Muner ini hanya tergelak besar, sekali gus memberi petanda berita yang tersebar hanya sekadar khabar angin.

Lapan tahun berada dalam dunia seni, Janna berkata, cerita kahwin lari sama seperti pelbagai gosip lain yang pernah melanda dirinya sebelum ini.

"Isu dan dakwaan kahwin lari tak benar sama sekali. Sebagai artis, saya sudah lali dengan gosip seperti ini. Keluarga saya pun faham dan tahu situasi sebenar kerana saya tinggal bersama mereka.

"Cuma, saya kasihan pada Dini. Dia masih baharu dan tidak biasa dengan gosip liar seperti ini. Apabila kontroversi ini timbul, Dini menghubungi saya untuk membincangkan perkara ini. Saya tahu dia bimbang dengan penerimaan keluarga dan sanak saudara kerana mereka tidak biasa. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah menasihatinya supaya tenang dan bersikap rasional.

"Jika ada media yang mahu menemubual untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini, bagi saja kenyataan. Leraikan persoalan dan jangan melarikan diri. Berani kerana benar," katanya.


Pelakon yang diangkat Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu berkata, dia tidak pernah terlintas dalam hati mahu berkahwin lari atau menyembunyikan hari bahagia kerana perkahwinan adalah satu perkara yang baik dan harus dikongsi bersama mereka yang tersayang.

"Perkahwinan adalah penyatuan dua hati dan keluarga kedua-dua pihak. Jadi mengapa perlu nak merahsiakannya? Insya-Allah jika ada perancangan ke arah perkahwinan, kami akan berkongsi kegembiraan dengan semua pihak," janjinya.

Dalam temubual itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Mungkin Saja dan Akan Bercinta itu turut meluahkan perasaan terkilan apabila maklumat peribadinya didedahkan kepada umum.

Tegas Janna, tindakan susulan akan diambil kepada individu yang menyebarkan maklumat peribadi dirinya.

"Saya sudah berbincang dengan peguam dan tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa atas penyebaran maklumat peribadi di bawah Akta Hak Perlindungan Peribadi," katanya.

Mengulas hubungannya dengan pelakon drama Bukan Cinta Aku itu, Janna berkata, ia masih berjalan seperti biasa. Cuma tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan membataskan mereka untuk bertemu.

"Hubungan masih baik, macam biasa. Lama juga kami tak jumpa sejak tempoh PKP dikuat kuasa. Rindu sangat-sangat. Hanya telefon dan panggilan video menghubungkan kami," ujar pengacara Melodi itu.

Previous Post Next Post