PELAKON Emelda Rosmila menuntut ganti rugi am melebihi RM1 juta terhadap pelakon, Zarina Anjoulie di samping ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang pelakon itu atau mana-mana ejennya menerbitkan semula kenyataan fitnah terhadapnya yang diterbitkan dalam bentuk video.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Emelda juga menuntut permohonan maaf daripada Zarina dan ia perlu disiarkan di media cetak, Facebook dan Instagram pelakon itu.
Selain itu, Emelda memfailkan satu saman dan pernyataan tuntutan balas terhadap Zarina berikutan video yang dimuat naik Zarina di Facebook itu.
Isteri kepada pelakon Adlin Aman Ramlee itu juga memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman dan pernyataan tuntutan oleh Zarina, menafikan pembabitannya dalam mengeluarkan fitnah terhadap Zarina melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan Covid-19 Persatuan Seniman.
Dia juga menafikan bahawa hantaran di aplikasi Instagramnya adalah fitnah kepada Zarina.
Saman dan tuntutan balas itu diserahkan kepada peguam Zarina pada 9 Jun lalu dan dia kini menyerahkan perjalanan kes kepada mahkamah untuk menentukan kebenaran yang sahih.
Konflik antara Emelda dengan Zarina timbul apabila krisis Covid-19 melanda dunia sekali gus memberi kesan kepada industri hiburan tanah air sehingga muncul pertelingkahan sesama penggiat seni.