Fattah Amin rahsia jantina anak




Bakal bergelar bapa, pelakon dan penyanyi, Fattah Amin tidak mampu menyembunyikan keterujaan untuk menyambut kehadiran cahaya mata dalam hidupnya.

Ketika ini, isterinya yang juga aktres, Nur Fazura sedang hamil enam bulan. Pasangan sama cantik, sama padan itu mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 selepas dipertemukan menerusi drama bersiri, Hero Seorang Cinderella.

"Saya teruja sangat dengan fasa sekarang, maklumlah bakal menimang anak sulong pada Oktober ini.

"Setiap hari jika ada di rumah atau balik kerja, saya dan isteri akan membiasakan berkomunikasi dengan anak dalam perut. Betapa tak sabar kami untuk mengalukan kedatangan zuriat ini.

"Bayangkan, sekarang saya punya teruja hingga berkomunikasi dengan anak dalam perut setiap hari. Tak dapat bayangkan apabila anak kami lahir ke dunia nanti, pasti menjadi penyeri hidup saya dan isteri," katanya kepada BH Online.

Kata penyanyi lagu Wanita Terindah dan Bebas ini, dia dan isteri sudah tahu jantina anak.

"Biarlah menjadi rahsia dahulu. Kami tak mahu berkongsi lagi jantina anak. Apabila tiba waktu yang sesuai, pasti saya dan isteri umumkan.

"Hingga saat ini, saya dan isteri belum sempat beli barangan keperluan bayi.

"Saya bersyukur dapat menjaga dan meluangkan lebih masa bersama isteri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimanapun, sekarang saya sudah mula bekerja," katanya yang melancarkan premis makanan, Meat Cartel cawangan Kota Damansara, Rabu lalu.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu berkata, minatnya dalam dunia perniagaan makanan bukan dibuat atas paksi suka-suka.

Restoran terbaharunya, Meat Cartel menyediakan pilihan daging yang dimasak menggunakan 'smoker' antara lapan hingga 14 jam untuk hasil lebih enak.

"Saya sudah menceburi dunia perniagaan makanan sejak empat tahun lalu. Sebelum ini, saya pernah membuka Stalkers Cafe di Kota Damansara selama tiga tahun.

"Sekarang di lokasi sama restoran itu, saya melakukan penjenamaan baharu dengan membuka Meat Cartel. Ini adalah cawangan baharu selepas Shah Alam dan Subang Bestari.

"Insya-Allah, saya bersama lima rakan kongsi bercadang untuk membuka francais di lokasi lain. Antaranya, Kampung Baru dan Johor Bahru," katanya.

Fattah berkata, sebelum ini, dia masih teragak-agak membuka francais.

"Alhamdulillah, bersama pasukan baharu, saya lebih yakin untuk melebarkan bisnes ini dengan meluas," katanya.

Sementara itu, Fattah berkata, dia sibuk di lokasi penggambaran drama adaptasi novel, Pink Smile sebanyak 20 episod bergandingan dengan Sweet Qismina untuk siaran TV3.

"Sepatutnya sebelum PKP lagi penggambaran ini tamat kerana ia untuk siaran bulan Ramadan.

"Sekarang masa untuk menghabiskan penggambaran yang tergendala dan berbaki 50 peratus lagi," katanya.

Previous Post Next Post