Adibah Noor mengaku jual rumah




Penyanyi Adibah Noor mengakui dia turut bergelut dengan masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.
Menerusi pendedahan itu 2 video pendek di laman Twitter miliknya, Adibah yang juga pelakon berkata itu, penjelasan itu untuk memberikan gambaran sebenar tentang keadaan kewangannya ketika ini.

Ini kerana menurut pemilik nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar, 50, dia menerima banyak mesej daripada orang ramai yang meminta bantuan kewangan.

“Saya menerima banyak direct message (DM) dan private message (PM) yang memohon bantuan kewangan. Mana yang saya boleh bantu, saya memang akan bantu.

“Pekerja-pekerja seni macam saya yang berada di depan kamera dan di atas pentas, memang nampak macam mewah, sering kali muat naik video atau gambar untuk menunjukkan kami masih aktif dalam bidang seni.

“Hakikatnya masa PKP dulu, saya memang tiada pekerjaan langsung sekali gus tiada pendapatan.

“Jadi selepas PKP iaitu pada fasa pemulihan, barulah dapat tawaran kerja sedikit demi sedikit untuk berlakon, menyanyi dan sebagainya,” luah Adibah.

Bagaimanapun, tambah pelantun lagu Terlalu Istimewa itu, bayaran yang diterimanya selepas PKP tidak lagi sama sebagaimana sebelum bermula pandemik Covid-19 malah jauh lebih rendah.

“Harga yang kita terima tidaklah semewah harga yang diterima sebelum pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, saya ambil sahaja mana-mana tawaran. Sekurang-kurangnya saya ada pendapatan sendiri,” katanya.

Dalam perkongsian yang sama, Adibah turut mengakui terpaksa menjual rumah dan memajak barangan kemasnya untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi sepanjang tempoh PKP lalu.

“Saya tak malu untuk memberitahu, banyak benda yang saya dah jual. Saya jual rumah, barang kemas pun ada di pajak gadai.

“Saya tak malu nak bagitahu yang saya juga mengalami kesusahan atau kesukaran dari segi kewangan, tapi kita cuba cari jalan sendiri,” luahnya.

Disebabkan situasi itu, Adibah menjelaskan, dia tidak dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat.

“Sejujurnya saya nak bagitahu kepada anda yang memohon belas kasihan dan juga bantuan, saya tak dapat nak bantu kerana saya baru kembali bekerja.

“Walaupun ketika PKP saya tiada kerja dan tiada pendapatan, saya tetap perlu bayar gaji pekerja dan menyediakan makanan untuk 37 ekor anak kucing peliharaan saya.

“Saya bukan nak mengadu, ini juga bukan curahan perasaan untuk menagih simpati, cuma saya nak bagitahu hakikatnya saya juga mempunya masalah saya yang tersendiri.

“Minta maaf saya tak dapat membantu orang lain kerana saya kena bantu diri saya sendiri.

“Apa-pun saya doakan semoga kita semua dapat mencari rezeki. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan kita,” akhirinya yang turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Previous Post Next Post