AZURA sudah ada, kini penyanyi legenda tanah air Datuk Jamal Abdillah, 61, menunggu kehadiran 'Zack' pula dalam keluarganya.
Menerusi perkongsian di aplikasi WhatsApp, Jamal tidak merahsiakan nama anak keduanya bersama isteri, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, yang akan lahir tidak lama lagi.
Menurut Jamal, dia bersama isteri sudah membuat keputusan memilih nama, El Isaac Yamani untuk bayi mereka yang dijangka jantinanya lelaki.
"Saya memang pilih ejaan, Isaac itu tetapi sebutan Melayunya ialah Ishak sempena nama nabi. Pun begitu, banyak juga pendapat dilontarkan kepada saya.
"Apabila saya pilih nama El Isaac ini, ada yang kata El itu dari perkataan Yahudi, manakala Isaac (Ishak) dari Kristian.
"Kenapa saya pilih nama itu, kerana panggilan hari-hari nanti adalah 'Zack' sempena watak pernah saya lakonkan dalam filem Azura," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya lagi, pemilihan nama berkenaan tidak perlu dipertikai kerana ada banyak nama nabi dan tokoh Islam digunakan oleh masyarakat barat mengikut keperluan mereka.
"Sebutannya sahaja yang lain. Macam Isaac, nama ini ramai yang sedia maklum sebenarnya untuk Nabi Ishak, tapi orang barat sebut sebagai Isaac. Begitu juga dengan nama lain seperti Daud yang jadi David, Yusuf (Joseph), Mariam (Merry) dan banyak lagi.
"Apa yang pasti, niat sebenar saya untuk pilih nama Nabi Ishak ini biarlah hanya Allah yang tahu. Tak perlu saya perjelaskan panjang lebar.
"Tujuan utama saya ialah nak cari nama yang sesuai dengan panggilan Zack. Malah, saya dapati nama Isaac itu lebih dekat dan kena dengan panggilan Zack," katanya.
Ujar Jamal, kenapa dia tidak memilih nama Zakaria kerana Ishak atau Isaac lebih dekat di hatinya. Apatah lagi, dirasakan sangat sesuai.
Jamal bernikah dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Azura Yamani yang lahir pada 10 Oktober tahun lalu.
Kini, kandungan Zai Izzati sudah mencecah usia enam bulan. Bagaimanapun, Jamal memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.