Uyaina Arshad Sedang kenal hati budi




Hadir berbaju putih sedondon ketika majlis resepsi Mira Filzah memberi petanda hubungan yang terjalin antara pasangan selebriti, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran.

Sebelum ini, mereka dikatakan berbalas komen mesra menerusi laman Instagram (IG).

Mengulas desas-desus hubungan istimewa, Raja Syahiran berkata, mereka masih dalam fasa awal perkenalan.

"Kami mula kenal sejak 7 Mac lalu. Setakat ini, kami dalam fasa perkenalan.

"Saya kenal Uyaina menerusi kawan. Dia berkawan dengan adik beradik Melvins seperti saya. Cuma, mulanya kami tidak pernah bertegur sapa.

"Mahu dijadikan cerita, kami terserempak ketika menghadiri satu acara. Daripada situ, kami mula jadi rapat," katanya kepada BH Online.

Raja Syahiran yang juga bekas peserta program realiti Dansa dan Sing itu berkata, secara peribadi, dia amat menyenangi Uyaina.

"Berbual dengannya menambahkan keseronokan hingga saya rasa susah nak berhenti bercakap.

"Uyaina petah dan bijak, perbualan jadi lebih menarik dan sentiasa ceria. Kami tak berbual kosong dan itu yang membuatkan saya senang berkawan dengannya," kata penyanyi It's A Trap itu.

Raja Syahiran berkata, majlis resepsi Mira menjadi percubaan pertama keluar bersama di khalayak ramai.

"Secara kebetulan, saya lapang jadi tak salah menemaninya," katanya.

Sementara itu, Uyaina berkata, hubungan mereka masih pada peringkat saling mengenali.

"Masih fasa berkawan, biarlah kami kenal dahulu.

"Saya menyenangi sikap Raja Syahiran. Dia jenis bijak, malah cara kami berfikir lebih kurang sama terutama hal membabitkan persefahaman dalam hubungan.

"Lebih menyenangkan, Raja Syahiran seorang yang baik, menghormati orang lain dan rajin," katanya yang sibuk dengan penggambaran drama Perempuan Tanpa Dosa di sisi Uqasha Senrose, Kamal Adli dan Yusuf Bahrin.

Previous Post Next Post