Pelakon Zoey Rahman menghadiahkan sebuah kondominium berharga setengah juta Ringgit di Cheras, Kuala Lumpur kepada ibu bapanya.
Zoey ketika ditemui berkata, kejayaan demi kejayaan yang dikecapi dalam bidang perniagaan adalah berkat doa dan restu mereka.
"Ibu bapa saya tidak tahu pun mengenai kejutan ini. Mereka datang dari Terengganu pun semata-mata ingin memberikan saya sokongan untuk pelancaran produk terbaharu saya.
"Hadiah ini adalah bagi membalas jasa baik mereka yang selama ini menjadi pendengar setia apabila saya berdepan masalah atau mengingatkan saya supaya menjaga solat.
"Saya percaya berkat doa mak abah membuatkan saya sampai ke tahap ini. Kuasa doa mereka amat luar biasa," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Mikaseries For Superstar di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Zoey, sepanjang lima tahun terbabit dalam perniagaan, dia tidak pernah membabitkan ahli keluarganya kerana tidak mahu menimbulkan konflik.
"Sejujurnya saya tak suka bekerja dengan keluarga sebab kalau babitkan mereka, saya kena jaga banyak perasaan.
"Seeloknya lebih baik saya bergerak sendiri. Sepanjang mengusahakan perniagaan ini saya juga tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak. Semuanya saya bermula dari bawah dan mengumpul duit sendiri. Saya tidak membuat sebarang pinjaman untuk memulakan perniagaan ini," katanya.