Pelakon Shaheizy Sam memohon maaf kerana menggantung rokok elektronik di leher semasa muncul atas pentas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 malam tadi.
Mengakui kecuaiannya, Shaheizy, nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad, 38, berkata dirinya terlalu fokus untuk menyampaikan trofi di acara yang disiarkan secara langsung sehingga terlupa beberapa vape yang tergantung di leher.
“Sam nak minta ampun dan maaf terutama kepada penganjur ABPBH, TV3 atas kecuaian saya.
“Dalam keadaan gemuruh di belakang pentas Sam hanya memfokuskan untuk buat yang terbaik untuk program ABPBH TV3 sampai terlupa apa yang Sam bawa atas pentas,” katanya dalam video yang dimuat naik di Instagram.
Shaheizy di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam mengumumkan pemenang bagi Artis Baru Wanita Popular, Artis Baru Lelaki Popular serta Artis Kolaborasi/Duet/Berkumpulan Popular.
Pelakon filem Adnan Sempit itu turut menafikan dirinya sengaja menayang vape kerana mahu mempromosikan produk rokok elektronik itu.
“Apa yang tergantung ini adalah keperluan sendiri, dah gantung banyak dekat leher, dah lebih setahun...tiada niat nak mempromosikan.
“Kelalaian mengundang yang tak elok terutamanya ABPBH TV3.
“Saya minta maaf, perkara ini tak berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, penganjur Berita Harian dan TV3 dalam kenyataan kesal dengan tingkah laku Shaheizy yang dianggap boleh menjejaskan imej artis-artis lain serta industri hiburan.
Katanya, mereka bekerja keras dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun insiden itu mencalarkan kredibiliti ABPBH.