Dah boleh panggil Datuk Shah Hazvee

Pelakon Shah Hazvee mengakui pernah dianugerahkan Darjah Kurnia Setia Diraja Perak (DKSD) yang membawa gelaran Datuk pada 2016.

Shah berkata, dia tiada niat untuk merahsiakan perkara terbabit selama ini, kerana tiada kepentingan untuk kongsikannya kepada umum.

"Saya dah terima anugerah ini (Datuk) pada 2016 lagi, tapi tak kecohkan pada sesiapa. Malah, keluarga saya pun tak ramai yang tahu.

"Namun saya fikir sekarang adalah waktu yang tepat kerana saya kini fokus dengan perniagaan dalam bidang pelaburan hartanah. Lagipun, memang gelaran ini saya gunakan untuk tujuan perniagaan.

"Kalau beritahu sebelum ini, macam tiada kepentingan sahaja sebab saya aktif berlakon. Jadi lebih baik saya rahsiakan," katanya.

Menurut Shah, sejak aktif dalam bidang pelaburan dia mengakui semakin memperlahankan karier seninya sebagai pelakon.

"Lakonan mungkin akan menjadi hobi sahaja selepas ini. Saya juga dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah filem dan dalam proses untuk bekerjasama dengan seorang pelakon terkenal dari Indonesia yang bakal dikongsikan nanti.

"Ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia bersama saya kerana selepas ini mungkin saya akan berehat sebagai pelakon," katanya.

Previous Post Next Post