Juara Akademi Fantasia musim pertama berhajat menyertai Gegar Vaganza (GV) musim hadapan jika mendapat sokongan peminat.
Vince, 41, berkata hasrat itu akan ditunaikan jika foto yang dimuat naik di Instagram disukai lebih 3,000 pengikut.
“Kalau gambar ini dapat lebih 3,000 ‘like’, saya akan sertai Gegar Vaganza, kalau saya dijemput Astro.
“Oleh kerana ramai yang sering minta saya sertai, saya akan tunaikannya untuk anda semua. GV bermaksud Go Vince.
“Menang atau tidak, bukan soalnya. Saya akan meriahkan pentas untuk anda semua,” katanya.
Vince atau nama sebenar Vincent Chong baru-baru ini mara ke pentas akhir The Masked Singer Malaysia menggayakan maskot burung kenyalang.
Gegar Vaganza Ahad ini merupakan pentas akhir yang turut membariskan Linda Nanuwil dari Akademi Fantasia 2.
Linda akan berentap bersama Noraniza Idris, Ayu Damit, Ashira, Cliff Umar, Muss dan Oja.