Syafiq Farhain Tetap fokus rentak balada

SELEPAS dua tahun menanti, penyanyi Syafiq Farhain lega apabila tampil dengan lagu baharu berjudul Kau Bidadari.

Sebelum ini, dia agak ralat apabila membuatkan peminat tertunggu perkembangan terbaharunya.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A.M Salim, 27, mendedahkan kelewatan itu sebenarnya tidak disengajakan.

Hakikatnya, dia sudah merancang untuk keluarkan lagu terbabit lebih awal.

Bagaimanapun, dia akur apabila berdepan banyak kekangan tertentu sebelum bertemu waktu tepat untuk melancarkannya.

Menurutnya, antara faktor menyumbang kepada kelewatan itu tentu sekali pandemik Covid-19 yang tiba-tiba melanda.

"Lagu Kau Bidadari sebenarnya sudah pun disiapkan sejak 2019 dan patut dilancarkan pada tahun lalu. Namun, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, rancangan awal itu tergendala.

"Saya perlu menyiapkan muzik video untuk lagu berkenaan juga sebelum boleh lancarkannya. Tapi, disebabkan larangan ketika PKP, terpaksa tunggu masa sesuai untuk berbuat demikian," katanya.

Dalam pada tidak mahu tergesa-gesa, Syafiq bagaimanapun tetap memastikan lagu terbabit dilancarkan secepat mungkin.

Menurutnya, dia risau jika namanya semakin malap apabila tiada lagu baharu.

Walaupun keadaan sekarang menyukarkan penggiat seni keluar bekerja, dia tetap optimis mempromosikan lagunya menerusi dalam talian.

Baginya, platform digital sekarang pun mampu memberi impak besar.

"Selepas lama tertangguh, saya tidak kisah pun untuk melancarkannya sekarang dalam tempoh PKP. Kalau nak tunggu sehingga keadaan stabil, kita semua tidak pasti bila ia akan berlaku.

"Memandangkan sekarang tidak boleh keluar membuat persembahan untuk tujuan promosi, saya akan gunakan platform digital saja. Sekurang-kurangnya dapat memenuhi penantian peminat untuk mendengar lagu baharu saya," katanya.

Terkenal dengan lagu berentak balada, Syafiq mengakui dia mahu fokuskan terhadap genre itu saja buat masa sekarang. Bukan tidak mahu menjadi serba boleh, sebaliknya ada misinya yang masih belum tercapai.

Baginya, dia perlu benar-benar mencipta tapak kukuh sebagai penyanyi balada dengan lagu yang fenomena. Walaupun lagu terdahulunya mendapat sambutan baik, dia akui masih ternanti karya yang teragung daripadanya.

"Bukan tidak pernah nyanyi lagu berentak lain, selalu juga nyanyi contohnya lagu rancak di karaoke. Bagaimanapun, ternyata suara saya tidak sesuai bahkan kedengaran seperti bunyi kartun jika bukan lagu balada.

"Semestinya saya akan terbuka untuk menyahut cabaran terhadap lagu genre lain suatu hari nanti. Namun, belum masanya dan saya pun mahu tampil dengan lagu yang akan membuatkan nama saya dikenang sampai bila-bila terlebih dulu," katanya.

Pada Februari lalu juga menjadi detik hitam buat penyanyi ini apabila disahkan positif Covid-19. Walaupun kini sudah sembuh sepenuhnya, pengalaman itu pastinya akan jadi igauan ngeri buatnya secara peribadi.

Berkongsi keadaan terbaharunya, Syafiq bersyukur kesihatannya berada pada tahap terbaik tanpa sebarang kesan sampingan akibat jangkitan itu.

Menurutnya, keadaan dirinya sudah kembali kepada normal.

"Alhamdulillah, keadaan saya baik-baik saja sekarang tanpa mengalami sebarang kesan sebagaimana yang dilaporkan boleh berlaku. Dari segi tenaga pun, normal saja dan stamina pun pada tahap terbaik," katanya

Previous Post Next Post