Hafizul Kamal disangka alami kemurungan

Pelakon filem Paskal, Hafizul Kamal, 36, disangka mengalami masalah kesihatan mental dan kemurungan gara-gara berkongsi ciapan seorang wanita yang pernah terdetik menamatkan riwayat hidup menerusi Instagram (IG) Story, baru-baru ini.

Hafizul berkata, niatnya sekadar mahu memupuk kesedaran di kalangan pengikut mengenai masalah kesihatan mental yang semakin parah akibat pandemik COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya, pelaksanaan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun, katanya, dia terkejut beberapa rakan menghubunginya untuk bertanyakan khabar, selain menerima panggilan media dan menjadi bahan kecaman netizen dalam laman Facebook.

Bagi tidak mencetuskan kekeliruan, Hafizul berkata, dia membuat keputusan memadamkan status yang dimuat naik.

"Tujuan berkongsi tangkap layar berkenaan kerana saya bimbang dengan masalah kesihatan mental yang semakin menjadi-jadi di sekeliling. Akibat terlampau lama berkurung di rumah, ramai tertekan sehingga mengalami kemurungan.

"Lebih teruk ada yang membuat keputusan menamatkan riwayat hidup. Saya paling terkesan membaca perkongsian seorang ejen insurans mengenai pelanggan yang bertanya adakah keluarga akan menerima pampasan sekiranya seseorang menamatkan riwayat hidup.

"Perkara ini benar-benar menyentak naluri saya. Mereka tidak meminta semua ini terjadi, tetapi tekanan dan terdesak membawa kepada tindakan di luar kawalan. Jadi, jangan hanya tahu mengecam kerana anda tidak berada dalam kedudukan mereka," katanya kepada BH Online.

Biarpun tidak pernah berdepan dengan masalah kemurungan, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia dapat merasai kesengsaraan ditanggung oleh individu yang berdepan masalah kesihatan mental.

Juara program On Air itu berkata, tahap kesedaran masalah kesihatan mental di kalangan masyarakat masih berkurangan. Justeru, sudah tiba masa membantu dalam memupuk lebih banyak kesedaran mengenainya.

"Netizen nampak perkara ini buruk, tetapi mereka tidak cuba memahami, sebaliknya terus menghukum.

"Andai kata ada di kalangan rakan meluahkan perasaan berada dalaman tertekan, tolong jangan ambil mudah. Kita kena ambil tahu apa yang membuatkan mereka tertekan. Beri peluang kepada mereka meluahkan perasaan.

"Pada sesiapa yang berdepan dengan tekanan, carilah seseorang meluahkan perasaan. Sekiranya dibuang kerja, jangan memendamkan perasaan, sebaliknya berkongsi bersama isteri mahupun keluarga," katanya.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Miranda pada 2014 itu mengakui, memang sukar mendapat pekerjaan, tetapi sekurang-kurangnya jangan memendam kesedihan seorang diri.

"Dalam keadaan kita masih berkurung, hanya menghadap dinding rumah sepanjang hari, tekanan menjadi lebih berat. Jadi, carilah jalan untuk melepaskan tekanan," katanya yang menggunakan waktu terluang berbincang dengan isteri selepas anak-anak tidur.

Berkongsi perkembangan kerjaya seni, Hafizul bersyukur memiliki beberapa rangkaian perniagaan yang boleh dijadikan sandaran selepas kerjaya lakonan tertangguh gara-gara fasa satu PPN.

Bagaimanapun, Hafizul berkata, dia sudah lama memperlahankan kerjaya seni berikutan bimbang membawa virus COVID-19 kepada anak-anak.

Namun. katanya, dia tetap berharap situasi pandemik dapat pulih dengan segera supaya dapat bekerja semula.

"Filem dan dua drama yang sepatutnya menjalani penggambaran kini tertangguh disebabkan pandemik. Lagipun, saya sudah lama menangguhkan kerjaya lakonan kerana tidak mahu menanggung risiko sehingga menyebarkan virus kepada keluarga.

"Sekarang saya banyak memberikan tumpuan kepada perniagaan dalam talian dan membuat ulasan produk menerusi IG. Namun, saya tetap mengharapkan kerjaya lakonan dapat kembali bergerak seperti biasa," katanya.

Previous Post Next Post