Caprice rindu nak balik

Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan sensasi, Caprice, 33, yang kini berada di Jordan membayangkan hasrat mahu segera pulang ke Malaysia kerana rindukan keluarga selain mahu menguruskan perniagaannya.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menerusi Instagram Story menjawab pelbagai pertanyaan pengikutnya termasuk soalan terbabit.

"Tentunya saya ingin balik ke Malaysia. Saya merindukan keluarga, perniagaan dan permainan saya. Tetapi itulah, saya harap dapat tinggal di sini (Jordan) lebih lama sebab sudah banyak kami lakukan untuk misi di sini. Saya harap saya dapat lakukan lebih banyak lagi. Saya akan tetap kembali ke sini, Insya-Allah," katanya.

Caprice sebelum ini dimasukkan ke hospital di Jordan akibat demam dan serangan panik.

Dia memaklumkan keadaannya kini semakin sihat, namun doktor memintanya berehat. 

"Disebabkan ini adalah hari-hari terakhir di Jordan, saya perlu berikan yang terbaik. Insya-Allah sebelum saya naik kapal terbang, saya akan muat naik semua video saya," katanya.

Dia juga gembira kerana sejak namanya tular, banyak rakan-rakan baharu ditemuinya di Jordan yang banyak membantunya menjayakan misi menuju ke Al Aqsa.

"Sejak lagu Koyak dan sesi live Instagram saya bersama pempengaruh tentera Israel itu menjadi tular, kita bertemu ramai sahabat baharu di sini. Jadi, banyak perjumpaan dan mesyuarat dilakukan dan anda akan melihatnya nanti," katanya.

Caprice aktif berkongsi pandangan mengenai isu Palestin dan Israel sehingga terhasil lagu Koyak iaitu istilah yang digunakan bertujuan menjatuhkan moral regim Zionis hasil kerjasama bersama seorang lagi rapper, MeerFly

Caprice meninggalkan Malaysia untuk misi ke Gaza pada 23 Jun lalu.

Previous Post Next Post