NAMA Sufian Suhaimi tidak pernah lekang dengan lagu genre cinta.
Kronologi lagu-lagu bertema cinta dihasilkan seolah-olah menggambarkan kehidupannya yang sepi tanpa adanya cinta.
Setahun tanpa single baharu, dia kini tampil dengan lagu Cinta Tak Bertepi dengan video lirik lagu terbabit dimuat naik di saluran YouTube Aries Music bermula 26 Julai lalu.
Menikmati lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan lirik Wan Saleh itu tentunya mengundang cakap-cakap Sufian, 29, mendambakan kehadiran seorang wanita bagi mengisi kekosongan hatinya.
Sekali lagi, Sufian menegaskan bahawa karya itu bukanlah mengenai kehidupan peribadinya.
"Lagu ini bukan berkenaan kisah cinta saya. Ia berkenaan perasaan saya yang diluahkan untuk pendengar muzik kita.
Ia berkaitan sama ada saya masih di hati pendengar atau sebaliknya," katanya membuka cerita. Bagaimanapun, Sufian mengakui dirinya memerlukan seorang teman hidup sebagai tempat untuk berkongsi rasa dan cerita.
"Ya, saya tak berselindung menantikan kehadiran teman hidup. Tak tahulah kerana pandemik Covid-19 buatkan saya rasa begini. Mungkin sebab banyak cerita orang yang semakin ramai berkahwin ketika pandemik ini, jadi rasa nak tamatkan zaman bujang itu ada.
"Tapi saya belum lagi ada jodoh. Saya sentiasa berdoa moga dikurniakan jodoh serta mohon peminat doakan saya dapat jodoh yang baik untuk diri dan keluarga," katanya.
Pernah melalui episod sedih putus tunang dengan seorang pelakon popular, Sufian akan terus berkahwin sekiranya bertemu pasangan yang sesuai.
"Insya-Allah, kalau ada jodoh memang saya nak terus kahwin. Apapun saya kena hati-hati dan kenali hati budinya dulu kerana kita nak cari pasangan hidup yang kekal selamanya.
"Mestilah saya nak yang serasi dan ada sefahaman. Lagi elok kalau keluarga dapat kenal juga. Namun, dalam situasi sekarang, saya sendiri pun tak boleh rentas negeri nak jumpa keluarga di Johor," katanya.
Sementara itu, Sufian gembira video lirik lagu Cinta Tak Bertepi sehingga kini sudah mendapat lebih 135,271 tontonan.
Baginya jumlah tontonan ini sudah cukup menggembirakan kerana lagu itu dilancarkan dalam keadaan penuh kekangan dek pandemik Covid-19 selepas kali terakhir tampil dengan single Janji yang mencecah 10 juta tontonan.
Sebagai kesinambungan kepada kehadiran lagu ini, Sufian turut membuat perancangan untuk mengadakan persembahan secara virtual untuk peminat-peminatnya.
Video lirik Cinta Tak Bertepi boleh ditonton di YouTube rasmi Aries Music dan boleh didengari di platform digital seperti Spotify, Joox, i-Tunes, Deezer dan KkBox.
Perniagaan semakin maju
Sufian yang mengeluarkan Zikir Pillow kini rancak mempromosi produk baharu, Guitar Pillow iaitu kerjasama babypian.hq X Haqiem Rusli.
"Idea asal buat Guitar Pillow ini datangnya daripada Zikir Pillow yang saya hadiahkan untuk anak angkat. Selain zikir, ada juga ayat al-Quran. Bila ramai orang suka produk ini, saya fikir untuk pelbagaikan lagi.
"Selain daripada suara saya, ada juga suara Haqiem berzikir dan trak zikir kami bersama. Kami memang kawan rapat dalam industri muzik," katanya.
Dia bersyukur perniagaannya masih boleh beroperasi dan kakitangannya masih dapat bekerja.
"Tiada yang terpaksa dihentikan. Bahkan waktu pandemik kita ada ambil beberapa kakitangan baru. Saya gembira dengan adanya perniagaan dapat berikan sesuatu kepada masyarakat," katanya.
Sufian kini turut mengembangkan sayap sebagai pelakon apabila membintangi drama bersiri 20 episod berjudul Kampung Kolestrol arahan Shuhaimi Lua Abdullah.