Stacy Anam Serah pada ketentuan

BERBICARA soal cahaya mata, pasti ramai yang sering diasak dengan persoalan sama ada bagi pasangan yang sudah dikurniakan zuriat mahu pun yang baru mendirikan rumah tangga.

Pasangan selebriti Stacy Anam dan Akim Ahmad tidak terlepas diajukan mengenai soal cahaya mata walaupun sudah memiliki seorang anak.

Stacy, 31, atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam berkata, dia dan Akim pada mulanya merancang jarak anak, namun memilih untuk meletakkan ketentuan itu kepada Allah SWT.

"Mungkin jawapan ini dianggap klise oleh segelintir pihak, namun kami sudah berusaha ke arah itu, cuma belum ada rezeki lagi.

"Sebelum ini memang kami merancang untuk memberi jarak dan sebagainya. Ini kerana kami ingin memberikan tumpuan kepada setiap satu anak-anak supaya tiada yang tertinggal.

"Kasih sayang diberikan sama rata buat semua, namun apabila tiba masanya tiada pula. Siapa kita hendak mempersoalkan perancangan Allah SWT. Ia sesuatu yang tidak dapat dijangka," katanya.

Stacy dan Akim yang juga penyanyi kumpulan Akim & The Majistret berkahwin pada 5 Februari 2016.

Stacy memiliki seorang anak angkat bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan seorang anak perempuan, Eshaal Afiq Hakim, 4, hasil perkongsian hidup bersama Akim.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Stacy mengakui semakin aktif mengatur langkah menguruskan barisan artis di bawah syarikat pengurusan, Rhyme & Rhythm Music Entertainment (R&R) bersama Akim.

Menurut Stacy, buat masa sekarang R&R menguruskan tiga artis di bawah pengurusan mereka iaitu Akim Ahmad, Stacy, Hafiz Zainal, Minsteve, Nona dan Dunya.

"Buat masa ini kami aktif menguruskan artis di bawah pengurusan R&R. Bukan bermakna kami terus selesa berada di belakang tabir, cuma buat masa ini itu fokus kami.

"Apa pun, kami tetap perlu mengekalkan kerjaya sebagai penyanyi untuk kekal relevan dalam industri muzik. Perlu seimbangkan kedua-duanya iaitu bidang nyanyian dan juga komposer," katanya.

Previous Post Next Post