Azlee Khairi dituduh tipu tarikh nikah?

Azlee dan Nurul Hidayah tetap meneruskan majlis resepsi yang dirancang pada 18 Mac depan biarpun kisah rumah tangganya menjadi tular.

Kisah perkahwinan aktor kacak yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Love You Mr Arrogant, Azlee Khairi, 33, tidak pernah terlepas kontroversi dan kisah misteri.

Pelakon yang kembali mencipta populariti menerusi drama Seadanya Aku dan Rahimah Tanpa Rahim itu sekali lagi membuat kejutan apabila mengesahkan berkahwin kali kedua dengan kru penerbangan, Nurul Hidayah pada Januari, tahun lalu.

Lebih mengejutkan, pasangan ini juga sudah dikurniakan cahaya mata lelaki berusia lima bulan. Nurul Hidayah berstatus janda memiliki dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.

Selepas membuat pengakuan berkahwin, timbul pula gosip mendakwa isteri Azlee dan bekas suaminya baru sahaja bercerai pada Disember, tahun lalu. Malah, anak lelaki yang masih kecil itu dikatakan bukan anak kandung Azlee apabila sijil kelahirannya turut didedahkan.

Misteri perkahwinan Azlee dan Nurul Hidayah dikongsi oleh bekas kakak ipar dalam laman sosial hingga menjadi tular.

Enggan mengeruhkan keadaan dan berat hati membuka aib orang lain, Azlee berkata, dia percaya ada perkara yang tidak boleh dikongsi dengan khalayak dan memiliki rahsia tersendiri.

"Rahsia ini mungkin akan membuka aib orang lain. Bagaimana teruk sekali pun orang bercakap, saya tidak mampu menutup mulut orang.

"Anak ini anak saya. Bagi saya, anak tiri tetap dianggap seperti anak sendiri. Orang yang menyebarkan cerita ini sebenarnya mungkin tidak tahu menahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Penilaian dari satu sudut, mungkin itu yang terbaik pada pandangan mata mereka," katanya kepada BH Online.

Azlee bersama isteri dan anaknya yang berusia lima bulan. - Foto Azlee Khairi Azlee bersama isteri dan anaknya yang berusia lima bulan. - Foto Azlee Khairi
Diasak persoalan aib yang dimaksudkan, Azlee enggan mengulasnya.

"Tak perlulah saya komen apa-apa. Saya terima semua ini sebahagian daripada ujian Allah.

"Ada sesuatu yang Allah mahu berikan kepada kami sekeluarga.

"Tidak dinafikan, saya dan keluarga agak terkesan dengan isu ini. Namun, kami perlu menghadapi isu ini dengan tenang dan tidak guna melatah.

"Biarlah diaibkan sehingga maruah dan reputasi terjejas, namun, kami tetap menjaga aib orang lain yang berkait dalam isu ini. Tentunya, isu ini membabitkan banyak pihak," katanya.

Mengulas adakah majlis resepsi yang dirancang pada 18 Mac depan diteruskan, Azlee berkata, ia tetap berlangsung seperti yang sudah dirancang.

"Sebelum ini, perancangan tergendala disebabkan situasi pandemik COVID-19," katanya.

Terdahulu, perkongsian gambar sambutan hari lahir ke-33 yang dimuat naik dalam Instagram mengundang pelbagai spekulasi dan akhirnya, Azlee membuat pengakuan sudah berkahwin pada penghujung Januari lalu.

Azlee berkongsi, majlis pernikahannya dibuat atas talian dan hanya membabitkan ahli keluarga dan sanak-saudara. Ini berikutan Azlee menghormati pendirian isteri tidak mahu soal peribadi didedahkan.

Sebelum ini, perkahwinan pertama Azlee bersama wanita dari Brunei, Dayang Norlelawati Puteh ketika namanya berada di puncak populariti pada 2014 mengejutkan ramai.

Azlee atau nama sebenarnya, Azlee Khairi Zulah Hainee memilih menetap di Brunei Darussalam dan tidak aktif berlakon.

Namun, pelakon kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu kembali ke Malaysia dan aktif berlakon semula pada penghujung 2019. Malah, setahun kemudian, Azlee turut mengesahkan dirinya bukan lagi suami orang.

Previous Post Next Post