Penyanyi, Aina Abdul mencari rakan kerjasama dan penaja bagi menjayakan Konsert A Night With Aina Abdul 2.0 yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 25 dan 26 Jun depan.
Aina berkata, susulan kejayaan Konsert A Night With Aina Abdul 1.0 yang berlangsung di Menara Ken TTDI, Petaling Jaya tahun lalu, mendorongnya untuk mengadakan konsert berskala besar tahun ini.
"Saya dan pasukan Aina Abdul Entertainment kini sedang mencari mana-mana pihak yang sudi bekerjasama dengan menaja konsert kali ini.
"Melihat kejayaan tiket konsert tahun lalu yang habis terjual dalam tempoh dua hari membuatkan saya teruja mengadakan konsert yang lebih mega tahun ini.
"Saya sudah melakukan beberapa persiapan dengan pengarah muzik serta sudah menghadiri beberapa mesyuarat dengan pasukan saya. Doakan semoga segala urusan kami dipermudahkan dan mendapat penaja pada penganjuran kali ini," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Aina, konsert A Night With Aina Abdul 2.0 diinspirasikan daripada persembahan penyanyi antarabangsa, Adele.
"Saya mahukan konsert yang bakal berlangsung nanti meninggalkan impak yang besar. Mengadakan sebuah konsert solo adalah impian saya. Jadi, saya sentiasa bersemangat dan cuba mencari kelainan baharu bagi memastikan peminat dan penonton yang hadir berpuas hati dengan persembahan yang dibawakan," katanya.
Terdahulu tiket A Night with Aina Abdul 1.0 yang dijual pada harga RM190 habis dijual dalam tempoh dua hari.
Penganjuran konsert solo itu dijayakan selama dua malam berturut-turut di Menara Ken TTDI.