Awie, Kumpul harta untuk anak



BUKAN mudah untuk insan bernama Awie itu mengemudi dirinya menghadapi hari-hari mendatang. Emosinya kacau-bilau. Memikirkan nasib diri, ada kalanya, jasad sasa itu sebenarnya hanya tunggu masa untuk terlerai.

Penyanyi rock itu mengakui fikirannya kini melayang-layang. Berdesup-desup satu persatu bayangan masa depan yang bermain di mindanya. Antara keluarga, kerjaya dan ujian hidup, semua bersarang di dalam kepala lelaki berusia 46 tahun itu.






"Saya sampai terfikir nak cari kerja lain. Rasa macam dah putus asa. Dah tak nak lagi buat ini (terlibat dalam dunia hiburan) semua.

"Sehinggakan mana-mana tawaran yang saya dapat semua saya tolak kerana saya rasa tak mampu melakukannya. Bukan apa, takut emosi saya terganggu sehingga menyusahkan pula pihak lain.

"Pada mulanya, saya hanya ingat nak menjalankan perniagaan dengan buka restoran. Mahu tumpu pada bisnes sahaja. Tapi, saya bersyukur, orang-orang sekeliling banyak beri saya kata-kata semangat untuk saya teruskan karier saya," luah pelakon Sembilu itu saat mengenangkan kes mahkamah bersama isterinya, Rozana Misbun.

Dalam dia cuba menelan segala kepahitan yang ada, Awie masih dilihat beruntung kerana dia masih punya harta yang tak terbanding nilainya. Lima orang cahaya mata yang masih berdiri di belakangnya menjadi teras untuk dia terus teguh sehingga kini.

"Mungkin itulah hikmah di sebalik apa yang berlaku. Ujian yang datang kepada saya membuatkan hubungan saya dengan anak-anak menjadi lebih kuat. Saya akan masak untuk anak-anak, tidurkan mereka dan siapkan mereka untuk ke sekolah. Itu rutin saya setiap hari.


AWIE menganggap setiap dugaan yang datang kepadanya sebagai satu ujian yang mempunyai hikmah di sebaliknya.

"Sesibuk mana sekali pun, kalau saya balik lewat, saya akan cium seorang demi seorang anak saya sebelum masuk tidur," ujar bapa kepada Puteri Aleeya Antasha, 14, Puteri Aleefa Antasha, 12, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4, itu.

Bukan itu sahaja, pemilik nama Ahmad Azhar Othman itu memberitahu, dia juga sentiasa berhubung dengan anak sulungnya, Aleeya untuk menjaga adik-adiknya selepas tamat waktu sekolah.

"Saya ada pembantu rumah, tetapi, kalau saya ada kerja di luar Kuala Lumpur, saya akan menelefon anak sulung saya untuk pastikan segala kerja sekolah disiapkan dan suruh mereka ulang kaji pelajaran selain minta tolong jaga adik-adik.

"Lebih terharu apabila kakak sulung sanggup tunggu saya balik lewat malam hanya untuk bukakan pintu rumah, tanya makan minum saya," tutur Awie.

Katanya, kerja keras yang dilakukan sekarang juga demi memastikan kelangsungan hidup anak-anaknya. Memikirkan satu persatu masa depan cahaya matanya itu jugalah yang membuatkan dia bangkit untuk meneruskan hidup.

"Saya ingat saya boleh mati kalau tak ada anak-anak. Saya tahu saya bukanlah seorang bapa yang sempurna. Harta yang saya kumpul adalah untuk anak-anak, itu yang saya nak kembalikan semula kepada mereka.

"Saya tak mahu anak-anak saya melalui zaman kesusahan seperti saya suatu ketika dulu. Duduk di dalam kolong, jual air batu ketul dan dihalau dari rumah sewa. Saya tak mahu anak-anak jadi seperti itu.

"Harta yang saya kumpul memang semuanya untuk anak-anak. Tak akan ada satu benda yang saya tinggalkan untuk saya," ungkap hero Maria Mariana itu.




Kesibukan dirinya bekerja untuk menyara anak-anak itu membuatkan Awie mengakui sedikit sebanyak mempengaruhi perubahan fizikal dirinya yang dilihat sedikit kurus berbanding sebelum ini.

"Saya tak timbang berat badan, cuma pinggang seluar daripada 36 sentimeter (cm) itu dah berubah jadi 30 cm. Saya sedar saiz berubah apabila seluar saya jadi longgar apabila nak pakai.

"Mungkin kerana jadual kerja padat, sampaikan kadang-kadang saya terlupa nak makan. Itu yang buat saya nampak sedikit kurus," kongsinya ketika ditemui pada sidang media pelancaran teater Supermokh Sebuah Muzikal Restaging di Istana Budaya baru-baru ini.
Previous Post Next Post