Ramona Zamzam ketepi madah caci



TIBA-TIBA sahaja gelora nama Ramona Zamzam melambung tinggi. Dihempas dan dibadai, arus diri yang pada mulanya tenang, berkocak deras tidak henti-henti.

Peluru cerca yang diterimanya saat itu juga membuatkan Ramona terduduk seketika. Hampir tidak keruan memikirkan titik dosa, namanya terus dilempar kata-kata nista. Disalut madah caci, Ramona hanya mampu meneguhkan hati.

Sekali lagi, diri wanita itu dirobek cerita yang membikin hatinya pilu. Gara-gara hanya sekeping gambar bersama tunangan orang, batang tubuhnya dijadikan bahan kutukan di serata media.






Lebih perit, Ramona dituduh sebagai perosak kepada perhubungan cinta rakan seangkatan dalam mencari rezeki, Dazrin Kamaruddin dan Amyra Rosli.

Jujur bagi Ramona, berita mengheret diri termenung panjang. Sudah berpuluh kali dibelek-belek gambarnya bersama Dazrin yang dimuat naik di akaun laman sosial Instagram miliknya itu, namun, sehingga kini dia tidak mampu mencari jawapan di mana silapnya.

Wanita kelahiran Ipoh, Perak itu menjadi lebih terkilan apabila melihat kata-kata yang dilempar sebilangan besar golongan netizen terhadapnya. Komen berbaur kesat itu membelenggu fikirannya. Dia benar-benar bingung memikirkan dari sudut mana terpacul khilaf tanpa sedar.

"Saya cukup terkejut apabila dapat tahu saya dihentam di laman sosial. Walhal, gambar itu hanya memaparkan diri saya berdua bersama Dazrin sewaktu di lokasi penggambaran sebuah drama.

"Gambar itu biasa sahaja di mana memaparkan diri saya sedang menghisap shisha. Bukannya gambar kami bermesra atau berpegangan tangan dan sebagainya.

"Entahlah, saya sendiri tidak tahu kenapa saya pula tersepit dalam hal sebegini. Hati siapa yang tidak sedih apabila dilabel sebagai wanita yang tidak baik," luahnya dalam satu pertemuan bersama Sensasi Bintang.


HATI Ramona tetap teguh biarpun dirinya dikritik dan dikecam hebat sebahagian besar pengikut yang singgah di akaun laman sosial Instagram miliknya.
Advertisement

Sungguh pun begitu, pelakon Begitukah Cinta itu tidak cepat melatah. Walau hatinya bercalar luka, dia tidak mahu membiarkan dirinya terus dibuai emosi mendung.

Bagi Ramona, dia hanyalah sebagai mangsa keadaan. Tidak mahu kusut dibayangi rasa bersalah, Ramona pilih hala hati yang membuatkan dirinya lebih bersifat positif.

Momen dirinya bersama Dazrin yang dikongsi itu dirasakan hanya terjerat dalam rangka masa yang bukan pada waktunya.

"Saya sebenarnya menjadi mangsa keadaan. Secara kebetulan gambar yang saya muat naik itu boleh terkena pula dengan berita mereka tak jadi kahwin.

"Sedangkan antara saya dengan mereka memang tidak pernah timbul masalah pun sebelum ini," ujar pelakon yang kini menginjak usia 24 tahun itu.

Apa pun, pemilik nama Ros Ramona Qadira itu memberitahu, sedikit sebanyak insiden berkenaan membuatkan dia terasuk dilema dek mengenangkan segala tindakan yang dilakukan seolah-olah mempertaruhkan satu nasib. Jika tidak kena pada waktunya, perbuatan itu mampu memakan diri sendiri.

"Kalau boleh saya tak nak ada kontroversi sebegini. Tapi lihatlah dengan apa yang berlaku. Siapa sangka dengan hanya sekeping gambar, saya pula terheret sama. Kontroversi kadangkala seperti nasib.

"Gambar itu pada pandangan saya hanyalah sekeping gambar yang tidak akan menimbulkan syak wasangka yang bukan-bukan pun. Sayangnya, saya pula dihentam teruk," tutur Ramona.




Sekepala dengan Dazrin

Mengetepikan segala cakap-cakap kotor di belakangnya, pelakon Nilapura itu masih tahu batas dalam menjaga sesuatu hubungan. Saat dirinya dikaitkan dengan nama Dazrin, Ramona hanya mampu tersengih. Dia tahu di mana beradanya paksi kebenaran.

"Saya dengan dia (Dazrin) memang sudah lama berkawan. Kami memang baik. Sepanjang perkenalan, sudah beberapa kali kami bekerjasama dalam sesebuah produksi yang sama. Dia selalu jadi hero saya.

"Sejujurnya saya cukup selesa dengan Dazrin. Perangai dia dan saya boleh 'masuk'. Kami cukup serasi. Boleh kata dia itu satu kepala dengan saya," cerita Ramona.

Secara peribadi, Ramona menyifatkan Dazrin sebagai seorang lelaki yang cukup berbeza dari segi karakter dan pembawaan diri jika dibandingkan dengan lelaki-lelaki lain.


HUBUNGAN dirinya bersama Dazrin tidak lebih daripada seorang teman baik.
Advertisement

"Ada sesetengah lelaki suka berlagak macho, tapi Dazrin bukan jenis yang macam itu. Malah, cara dia bergaul dan pemikiran dia pun tidak sama macam orang lain. Mungkin sebab dia dah biasa dengan kehidupan di luar negara, jadi sedikit sebanyak membuatkan dirinya berbeza. Itu apa yang saya lihat kepadanya," ujar Ramona saat ditanya mengenai lelaki berusia 26 tahun itu.

Sayangnya, menurut Ramona, kontroversi yang tercetus itu sedikit sebanyak membuatkan hubungan dia bersama Dazrin bertukar suram.

"Selepas tersebar berita itu, keesokannya, dia datang minta maaf kepada saya atas apa yang berlaku. Kemudian itu, dia terus senyap. Sudah tidak ada berhubung dengan saya lagi," cerita pelakon Castello itu.

Mengenali lelaki

Ramona tahu, ada banyak hati yang perlu dijaga. Selain maruah diri dan keluarga, dia tidak mahu tohmahan yang dilemparkan kepadanya itu menggugat hubungannya dengan orang-orang di sekeliling. Begitu juga dengan insan tersayang.

Mengakui sedang mengenali seseorang, menurut Ramona buat masa sekarang dia lebih selesa untuk tidak meletakkan sebarang status istimewa dalam perhubungan.

"Memang saya sedang berkawan dengan seorang lelaki. Kami sudah lama berkawan sewaktu sama-sama belajar lagi.

"Apabila kontroversi itu timbul, dia pun tahu, tetapi dia tak berapa nak endah hal tersebut kerana tahu saya jenis yang macam mana. Itu yang dia tak kisah apabila timbul cerita sebegini," tutur Ramona yang kini sedang mengenal hati budi seorang lelaki warga Palestin.

Enggan bercerita lanjut perihal cinta, Ramona lebih selesa untuk berkongsi perihal kerjaya.

"Saya takut nak cakap lebih-lebih, saya pun tak tahu lagi apa yang akan berlaku (dengan perhubungan itu) selepas ini. Cuma saya dengan dia memang masih berkawan dan dia seorang yang memahami," tuturnya yang baru sahaja tamat menjalani penggambaran drama Bingkai Kaca.
Previous Post Next Post