Puteri Chichi, Fasa seimbangkan karier, keluarga



KELOPAK namanya sudah berkembang matang namun warna popularitinya tidak setanding usia. Sudah 11 tahun Puteri Fateen Nasuha Shamsuddin berkelana dalam padang bernama hiburan. Dalam tempoh itu juga namanya umpama embun pagi yang senang menghilang setiap kali muncul sang mentari.

Ironinya, gadis genit itu melihat perspektif kariernya daripada sudut pandangan berbeza. Sejak kanak-kanak seterusnya meniti zaman peralihan remaja dan kini menempuhi fasa baharu sebagai pelakon berusia 24 tahun, biar barisan nama pelakon baharu bersilih ganti tempatnya masih sama.






Fateen atau lebih popular dikenali dengan panggilan Puteri Chichi akur dengan graf kerjaya lakonannya. Walau masih statik, dia tidak melihat ia sebagai satu persaingan.

“Populariti selalu menjadi soalan pertama yang akan orang ajukan kepada saya. Itu bukan satu ancaman atau desakan untuk saya memasang impian baharu kerana kedudukan saya tetap sama. Walaupun ramai pelakon baharu muncul, Alhamdulillah khidmat saya dalam industri masih diperlukan.

“Saya lali dan sudah terbiasa kalau orang tidak mengenali siapa Puteri Fateen Nasuha, tapi apabila disebut Puteri Chichi ramai yang mula ingat siapa saya,” optimis dia memulakan bicara.


BARU bernikah selama tujuh bulan dengan suaminya Nazir, kata Puteri Chichi, dia kini mula belajar untuk menguruskan rumah tangga dengan cekap.

Tidak popular

Puteri Chichi tidak tergugat dengan pencapaian yang diraih rakan pelakon kanak-kanak sezaman dengannya seperti Elfira Loy dan Erin Malek, bahkan dia menumpang rasa bangga melihat kedudukan pelakon terbabit sekarang.

“Memang dahulu saya rasa situasi ini tidak adil! Mentang-mentang saya tiada kontroversi, cerita panas atau diberi publisiti maka orang susah ingat saya.

“Namun saya memandang daripada sudut lain bahawa saya kurang berdepan ancaman. Maknanya, orang tidak memandang buruk pada imej saya kerana tiada gosip mengarut dan peminat menghargai saya kerana karakter.

“Saya akui populariti penting bagi seseorang artis terutama untuk mendapatkan watak yang lebih besar dan tawaran yang lebih banyak, produser pun susah percaya kalau tidak kenal kita tapi saya selesa dengan keadaan begini. Walau tidak ramai yang kenal, asalkan rezeki tidak putus saya sudah cukup bersyukur,” katanya tanpa berselindung.

Pelakon yang cukup terkenal dengan drama rantaian Raksasa itu tidak cemburu. Katanya, dia sudah merasai situasi dikenali, sibuk sampai tidak cukup tidur, privasi yang terbatas dan pelbagai sepak terajang pada usia yang muda. Maka, dia lebih bersedia apabila memasuki fasa kehidupan berbeza seperti sekarang.



BARU bernikah selama tujuh bulan dengan suaminya Nazir, kata Puteri Chichi, dia kini mula belajar untuk menguruskan rumah tangga dengan cekap.

Cuma rasa cemburunya tercetus apabila lambakan pelakon baharu yang mewarnai industri mudah mendapat tawaran berbanding dia yang sudah memasuki usia 11 tahun bergelar pelakon.

“Pelakon baharu sekarang ramai, maka persaingan pun tinggi. Suatu masa dahulu khidmat saya memang diperlukan sebagai pelakon kanak-kanak tapi sekarang produser lebih melihat elemen populariti berbanding pengalaman dan bakat.

“Sejujurnya saya melihat banyak pelakon tambahan yang lebih berbakat dan cantik tapi itu permainan dunia sekarang. Bagi saya jadi diri sendiri, tidak perlu tertekan untuk sampai ke satu tahap yang bukan atas usaha sendiri dan percaya pada ketentuan rezeki Allah itu sudah memadai,” luahnya.

Hidup sebagai isteri

Memasuki alam rumah tangga pada 14 Februari lalu, usia tujuh bulan berkongsi hidup bersama suami tercinta, Nazir Azmar, 27, menghadiahkan seribu satu pengalaman dan nikmat yang tidak ternilai.

“Setiap hari umpama cerita baharu dalam hidup saya sejak bergelar isteri. Alhamdulillah sudah tujuh bulan kami mendirikan rumah tangga dan saya sedang belajar menyesuaikan diri dalam banyak perkara.

“Hakikatnya, hidup saya lebih sibuk berbanding dahulu. Saya perlu uruskan dua perkara pada satu masa. Sekarang harus bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan suami sebelum masing-masing keluar bekerja begitu juga hal-hal sensitif perlu dijaga kerana status saya.

“Memang suami tidak pernah menghalang minat saya dalam berlakon kerana dia pun berada dalam industri yang sama tapi saya sendiri perlu menjaga perlakuan sebagai isteri orang.

“Mungkin tahun ini bukan tahun aktif saya, memang niat dan pilihan saya sendiri untuk kurangkan berlakon dan lebihkan masa kepada keluarga. Kalau ada tawaran berlakon pun saya akan fokus satu persatu,” ujarnya yang menjadikan Nadiya Nissa dan Noorkhiriah sebagai idola.

Atas dasar itu juga tambah anak kedua daripada empat beradik itu, dia memberikan ruang untuk fizikalnya berehat kerana mahu menimang cahaya mata secepat mungkin.

“Pasangan suami isteri mana yang tidak mahukan cahaya mata? Pastinya itu impian saya dan kami berserah pada rezeki Allah. Saya masih bekerja cuma tidak seaktif dahulu lagi,” katanya yang pernah mengalami dugaan disihir selepas mengikat tali pertunangan dengan Nazir.




SELAIN berlakon, Puteri Chichi juga bakal muncul dengan dua buah single yang salah satunya berjudul Cubalah Mengerti.

Pengorbanan

Sebesar makna Aidiladha begitu juga ertinya sebuah pengorbanan bagi Puteri Chichi. Mendahulukan kerjaya berbanding pelajaran, dia punyai penilaian sendiri untuk menebus kembali peluang dan waktu yang telah terlepas suatu ketika dahulu.

“Saya mengorbankan zaman kanak-kanak dan remaja saya untuk mencari duit sendiri dan membina kerjaya kerana saya tahu ia akan berbaloi. Bukan saya menyesal kerana itu pun pilihan saya sendiri, cuma kehidupan itu berbeza dan saya tidak mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Kalau orang lain boleh berseronok pada zaman kanak-kanak, saya pula sibuk menyanyi dan berlakon, berkejar sana sini. Sehingga mengulangkaji pelajaran untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun ketika di set penggambaran.

“Teringin juga untuk ke kolej tapi saya tunda dulu hasrat itu untuk suatu tempoh yang akan datang kelak. Insya-Allah kalau diberikan peluang saya mahu menyambung pelajaran dalam bidang yang selari dengan minat saya, contohnya pendidikan kanak-kanak,” ujarnya.

Berkongsi cerita Aidiladha tahun ini, kata Puteri Chichi dia meraikannya buat pertama kali di kampung halaman suaminya di Parit, Perak.

Masih dalam suasana hari raya, Puteri Chichi bagaimanapun kini teruja menanti kemunculan drama rantaian lakonannya, Setitis Kasih Darmia. Drama tersebut akan mengisi slot Ratu TV9 pukul 8.30 malam bermula 14 Oktober depan. Drama adaptasi novel terkenal tulisan Naniey TJ itu turut dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose.

Menjayakan peranan sebagai Haliza, kata Puteri Chichi, dia diberikan peluang untuk mencorakkan watak antagonis sebagai sepupu Darmia (Nelydia Senrose) yang cuba merampas kebahagiaan wanita itu.

“Cabaran saya kerana mahu membentuk karakter gadis yang jahat dan penuh hasad dengki sedangkan fizikal saya kecil berbanding Nelydia. Untuk menjadikan watak saya besar saya perlu membina perwatakan dan ekspresi yang lain daripada lain,” tambahnya.

Setitis Kasih Darmia mengisahkan kehidupan gadis bernama Darmia yang kehilangan kasih ibu dan terjebak dengan perkahwinan yang dia sendiri tidak rela sehingga suaminya, Khairul Amir terpaksa meninggalkan Darmia.

Darmia kembali kepada Opah (atuk) dan sepupunya, Haliza. Konflik mula tercetus apabila suaminya kembali dalam hidup Darmia sebagai majikan kepada Haliza.
Previous Post Next Post