Stesen televisyen online AC Mizal



AC MIZAL berani memperjudikan jutaan ringgit untuk memiliki stesen televisyen online berkonsepkan hiburan yang pertama di Malaysia.

Enggan leka mengecap glamor seni dan kejayaan dalam bidang perniagaan diceburi, pengacara tersohor, Datuk AC Mizal melangkah setapak ke hadapan apabila bakal membuka stesen televisyen pertama miliknya yang akan beroperasi Mac nanti.

Stesen televisyen yang akan disiarkan secara dalam talian (online) itu bakal mengetengahkan program berkonsep hiburan itu diikuti dengan pelbagai rancangan menarik yang akan disajikan peminat secara 24 jam.

Mengambil risiko memiliki stesen televisyen sendiri sebagai sayap baharu, bekas pengacara Maharaja Lawak Mega 2014 atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, 44, memberitahu, itulah impian beliau setelah sekian lama menyertai bidang penyiaran.

Ikuti temu bual Artis Meletop! selanjutnya mengenai perancangan calon Pengacara Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular itu mengenai perkembangan stesen televisyen yang sedang diusahakannya.




Artis Meletop!: Difahamkan, AC Mizal kini sedang dalam persiapan terakhir untuk membuka sebuah stesen televisyen yang dikendalikan sepenuhnya oleh anda, benarkah?

AC Mizal: Ya benar, saya akan membuka stesen televisyen online pertama di Malaysia. Usaha itu dalam persiapan terakhir dan segala peralatan telah pun tersedia. InsyaAllah, kalau tidak ada masalah, stesen tersebut akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

Mungkin anda boleh ceritakan sedikit mengenai hala tuju stesen televisyen berkenaan dan apa signifikannya ia terhadap industri hiburan di Malaysia?

Sudah hampir 23 tahun saya menerokai pelbagai bidang dalam industri hiburan di Malaysia. Saya rasa, tidak salah jika stesen televisyen ini mampu dijadikan platform alternatif kepada artis baharu dan membuka lebih banyak ruang untuk industri hiburan di Malaysia berkembang. Jika dilihat secara kasar, industri hiburan tempatan masih kurang program-program berbentuk hiburan yang dilakukan secara menyeluruh. Kalau adapun, program tersebut sangat terhad. Lagi pun, masyarakat kini lebih terdedah dengan penggunaan laman sosial dan internet. Saya yakin stesen televisyen itu menawan lebih banyak khalayak dalam kalangan peminat industri hiburan Malaysia.

Apakah kandungan ataupun intisari yang akan dimuatkan di dalam stesen televisyen itu kelak?

Secara keseluruhannya, stesen tersebut akan mengetengahkan program berkonsep hiburan. Pihak kami sememangnya telah menyediakan slot seperti program realiti dan rancangan hiburan. Stesen tersebut akan beroperasi selama 24 jam sehari. Bagaimanapun, intisari rancangan yang akan dimuatkan dalam siaran tersebut masih lagi dalam peringkat perancangan.

Adakah program rancangan tersebut akan menampilkan wajah-wajah baharu yang mungkin akan menjadi ikon bagi stesen televisyen tersebut?

Sudah tentu, kami telah pun merancang untuk mengadakan uji bakat bagi mencari pengacara dan juruhebah bagi stesen televisyen tersebut. Uji bakat itu terbuka kepada rakyat Malaysia yang mempunyai potensi dan bakat dalam bidang pengacaraan. Saya tidak mahu mengambil bakat sedia ada kerana saya mahu mencari nafas baharu dan bakat-bakat yang belum pernah ditonjolkan sebelum ini. Uji bakat tersebut akan diadakan pada 1 Mac ini di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur. Saya harap uji bakat ini mampu mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada seluruh masyarakat Malaysia.

Kalau tidak keberatan, boleh anda ceritakan mengenai kos keseluruhan untuk melancarkan stesen televisyen itu?

Saya tidak mahu mendedahkan kos sebenar di sebalik pelancaran stesen televisyen ini, bagaimanapun, kos bagi menerbitkan stesen televisyen untuk stesen ini memakan perbelanjaan sehingga jutaan ringgit. Perbelanjaan tersebut merangkumi kos operasi dan peralatan bagi memenuhi standard sesebuah stesen televisyen.

Sibuk dengan perniagaan dan stesen televisyen, adakah bisnes itu akan memperlahankan karier seni anda sebagai seorang pengacara dan penyanyi?

Saya rasa perkara ini tidak menjadi masalah besar kerana saya telah pun mempunyai kakitangan yang akan mengendalikan stesen televisyen itu. Lagi pun, saya masih menjadi artis eksklusif di stesen televisyen berbayar Astro. Komitmen saya terhadap bidang seni tidak akan pernah berganjak.




Previous Post Next Post