Sharisa ingat pesan Eman Manan


SELAIN berhasrat berlakon di samping Wan Hanafi Su dan Nasir Bilal Khan, Sharisa juga teringin untuk berlakon di bawah arahan Erma Fatima.

Pertama kali memandang wajah pelakon bernama Sharisa Haris Chong ini, kepala ligat memikirkan di manakah wajah wanita itu pernah kelihatan.

Lelah memikirkan identiti wanita itu yang tak kunjung tiba di kotak fikiran, pelakon berusia 26 tahun itu mula membuka bicara. Dedahnya, wajahnya pernah menghiasi drama bersiri popular, Teduhan Kasih dan Ariana Rose.

Lantas, lagak lakonannya yang berkesan sebagai setiausaha kepada Adi Putra dalam drama Teduhan Kasih dan juga setiausaha kepada Fathia Latiff dalam drama Ariana Rose terbayang-bayang di minda.

"Saya banyak pegang watak setiausaha. Sehinggakan ramai orang tegur saya dengan peranan tersebut. Masakan tidak, saya pernah bawa watak setiausaha sebanyak empat kali dalam drama," ujarnya sambil ketawa.

Sharisa tidak kisah namanya tidak dikenali asalkan penonton mengingati karakter lakonannya, itu sudah memadai. Baginya, dia mahu kualiti lakonannya itu berbekas di hati penonton.

"Sebenarnya, saya rasa puas hati apabila orang menegur saya dengan watak setiausaha. Maknanya, karakter itu kuat sampai orang boleh ingat. Saya beruntung dapat watak kecil tetapi kemunculan saya itu memberi kesan kepada jalan cerita," ujar pelakon berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu.


SHARISA kini merupakan pelakon di bawah naungan syarikat MIG selepas menandatangani kontrak pada 2014.


Belum sampai masanya

Berkat kata-kata nasihat daripada pelakon hebat, Eman Manan, Sharisa tidak kecewa biarpun sering disogokkan dengan watak-watak kecil dalam drama mahupun telemovie.

Wanita ramah itu sentiasa memegang nasihat pelakon hebat itu sehingga dirinya diberi kepercayaan untuk memegang peranan heroin dalam drama Matahari Terbit Lagi yang telah diangkat sebagai Drama Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2014.

"Sampai sekarang saya masih ingat pesan Eman, 'Jangan tunggu watak idaman, tetapi cabar apa jua watak yang awak dapat'.

"Pesanan itu disampaikan Eman masa kami berlakon sama menerusi drama bersiri Kerambit terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.," ungkapnya yang menyimpan hasrat untuk berlakon di samping Wan Hanafi Su dan Nasir Bilal Khan pula.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang lakonan, penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Psikologi Kaunseling itu mula berlakon pada awal 2011.

Biarpun sudah empat tahun berlakon, nama dan wajah Sharisa masih belum dikenali ramai.

Menyuakan perihal populariti kepadanya, Sharisa hanya tersenyum dan berdoa semoga pembabitannya dalam industri lakonan membuahkan hasil tidak lama lagi.

"Mungkin belum sampai masanya. Ada sesetengah orang memilih untuk popular dengan kontroversi, tetapi saya mahu orang kenal melalui lakonan bukan melalui kontroversi.

"Saya sedar ia akan mengambil masa, tetapi Insya-Allah satu hari nanti ia akan tiba. Sejujurnya, ketika ini saya sudah semakin serius memikirkan keberadaan dalam industri sementelah umur bukannya lagi muda. Sudah mencecah 26 tahun," ungkapnya yang pertama kali berlakon dalam drama Orang Kita untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ikat kontrak MIG

Semakin serius memikirkan masa depannya, Sharisa yang sebelum ini berlakon secara bebas (freelance) selama tiga tahun mengambil keputusan untuk menerima lamaran bernaung di bawah syarikat Metrowealth (MIG) sejak 2014.

"Saya bermula dengan watak kecil. Selepas itu saya mula diberi kepercayaan untuk bawa watak utama untuk drama Matahari Terbit Lagi. Sejak itu, saya memikirkan pula untuk berlakon di dalam filem.

"Alhamdulillah, berkat berlakon beberapa kali untuk MIG, akhirnya saya ditawarkan kontrak sebagai artis mereka," jelasnya yang kini muncul menerusi filem Misi Rayyan & Danish; Jangan Ambil Rumah Kami di seluruh pawagam sejak 20 Ogos lalu dan kemudiannya pada 15 Oktober menerusi watak utama dalam filem seram berjudul Badi terbitan MIG.

Berkongsi mengenai kedua-dua filem tersebut, kata Sharisa, menerusi Misi Rayyan & Danish; Jangan Ambil Rumah Kami, dia memegang peranan sebagai peguam yang menyampaikan wasiat selepas kematian kedua-dua ibu bapa Rayyan dan Danish.

Sementara dalam filem Badi pula, dia membawa peranan sebagai pelajar perubatan yang terpaksa melakukan bedah siasat ke atas mayat seorang wanita tua yang membela saka.

Previous Post Next Post