Juliana Evans bakal jadi penolong pengarah


JULIANA kini lebih bersifat feminin dari segi penampilan dan berpakaian.

Tika ini Juliana Evans mengusung penampilan dan pemikiran berbeza. Langkah-langkah sumbangnya selama ini digerakkan dengan pengalaman dan kata hatinya yang sentiasa mahukan perjalanan lebih baik dalam hidup.

Sungguh, dalam mengatur langkah, kadangkala dirinya tersadung, namun dia tidak pernah patah semangat demi mengubah diri menjadi wanita sempurna.

"Dahulu, saya tidak begitu menjaga imej. Saya suka berpenampilan selekeh, memakai celak berwarna hitam tebal, gelang banyak di tangan, memakai skinny jeans dan baju-T sahaja. Pergi ke majlis juga selekeh. Sekarang, saya semakin matang dari segi penampilan dan menekankan imej fesyen dalam berpakaian. Penampilan sekarang juga lebih feminin.

"Biarpun penampilan berubah, tetapi saya masih Juliana Evans yang sama. Alhamdulillah, pengalaman dan pembacaan banyak mengajar saya. Syarikat pengurusan saya iaitu Uprising Entertainment Sdn. Bhd. juga banyak membantu dari segi perubahan imej ini," ujarnya yang turut matang dari segi pemikiran.

Jauh meninggalkan darah muda yang pantas mendidih tatkala dijentik, pelakon dengan nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans itu kini lebih penyabar.

"Kalau dahulu, saya rasa ada yang tidak betul dari segi dalaman. Saya suka marah-marah. Ketika itu saya ambil keputusan untuk bersendirian sekejap dan mendalami siapakah diri sebenar. Alhamdulillah, kini saya lebih terbuka," ujarnya pemegang Ijazah Perfileman, Video dan Media di Universiti Western Michigan, Amerika Syarikat itu.

Hadir dengan misi untuk kembali fokus dalam karier lakonan, pelakon berusia 26 tahun itu juga menyimpan keinginan bergelar pengarah dan penerbit suatu hari nanti.

Pada masa sama, pelakon filem Kami The Movie itu juga tidak akan menghampakan permintaan ibunya yang mahu melihatnya memperoleh ijazah Sarjana.

"Ibu sebenarnya mahu saya sambung belajar ke peringkat Sarjana tetapi buat masa ini, saya mahu fokus pada karier lakonan, diri sendiri dan keluarga dulu. Insya-Allah, satu hari nanti saya akan tunaikan cita-cita ibu. Tua macam mana pun kita, tidak pernah terlewat untuk menyambung pelajaran," luahnya yang bakal muncul dalam rancangan popular Oh My English! Class of 2015!.

Membawa peranan sebagai pelajar dari New York bernama Taylor Mary Smith, Juliana merupakan 'bunga' baharu bagi siri itu selepas Izara Aishah dan juga Amyra Rosli.

Juliana juga terlibat dalam dua buah telemovie Oh My English di samping pelakon Zain Saidin dan Tiz Zaqyah.

Di tengah-tengah kesibukannya berlakon, Juliana turut sibuk menjadi duta mewakili jenama telefon bimbit popular Samsung A8 dan jenama syampu Clear bersama Shaheizy Sam.

"Alhamdulillah, rezeki pulang selepas belajar. Saya rasa lepas balik belajar, orang lebih beri kepercayaan pada saya. Mungkin disebabkan kematangan saya sekarang," ujarnya yang bakal menjadi penolong pengarah untuk filem terbaharu arahan Fauzi Nawawi.




SEKOLAH LAKONAN

Mempunyai ijazah dalam Perfileman, Video dan Media, Juliana berhasrat untuk membuka sebuah sekolah lakonan atau menjadi jurulatih lakon satu hari nanti.

Biarpun takut mengimpikan sesuatu yang besar seperti itu, namun pelakon cantik itu nekad untuk merealisasikan impiannya itu bila tiba masanya.

"Saya tengok asal ada kontroversi dan popular mereka mudah jadi pelakon ketika ini. Saya mahu memberi peluang pada mereka yang duduk jauh dari bandar tetapi mempunyai bakat dan impian bergelar pelakon.

"Masa saya ambil kelas di Amerika Syarikat, banyak cara untuk mengajar bagaimana untuk menjadi pelakon yang bagus. Sebenarnya bukan mudah untuk jadi pelakon yang bagus," getusnya.



ROCK & ROLL

Membesar dengan muzik daripada The Beatles dan Elvis Presley, Juliana yang mempunyai darah campuran British dan Melayu itu sangat menyukai muzik rock & roll sejak kecil lagi.

"Sebenarnya, minat pada muzik rock & roll ini datangnya daripada ayah. Dia orang British dan membesar di England. Disebabkan daripada kecil sering diperdengarkan dengan lagu-lagu The Beatles dan Elvis Presley, secara tidak langsung ia menarik minat saya pada muzik itu," ungkapnya yang turut meminati muzik indie rock, R&B dan sedikit hop hop.

Juliana juga mengakui, dia suka melayan muzik atau persembahan band secara langsung bersama kawan-kawan ketika menuntut di universiti di Amerika Syarikat.

"Ketika belajar dahulu, saya pernah menonton konsert Yeah Yeah Yeahs, Paramore dan The Pretty Reckless secara langsung. Selalunya, kalau menonton saya akan menyelit untuk berdiri di barisan paling hadapan," katanya sambil ketawa.

KAWAN PALING RAPAT

Pernah bercinta dengan Sam Bunkface, digosipkan bercinta dengan Zizan Razak dan SonaOne, Juliana mengakui, dia kini banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan wanitanya yang terdiri daripada Kaka Azraff, Farah, Liyana Jasmay dan Ezlynn.

"Saya mempunyai ramai kawan artis tetapi yang betul-betul rapat cuma mereka sahaja. Kawan lelaki yang paling rapat ada beberapa orang ketika sama-sama menuntut di kolej dahulu," ujarnya yang masih solo tanpa kekasih.

PENOLONG PENGARAH

Satu pencapaian besar buat Juliana apabila dia diberi kepercayaan untuk menjadi pembantu pengarah.

Ibarat mimpi menjadi nyata, Juliana tidak menyangka, pelakon senior Fauzi Nawawi melamarnya menjadi penolong pengarah untuk filem terbaharu arahannya.

"Pada mulanya saya ingat dia hanya mahu menawarkan saya watak dalam filemnya. Tidak sangka pula dia meminta saya turut menjadi penolong pengarah filemnya. Sampai saya tanya pada dia, betul ke dia mahu saya membantunya? Dia cakap kalau orang lain boleh beri dia kepercayaan mengarah dahulu. Tidak salah sekiranya dia beri kepercayaan yang sama kepada saya.

"Walaupun takut dan gementar kerana pertama kali mengarah tetapi bila memikirkan peluang baik ini tidak harus disia-siakan, saya menerimanya," ujarnya dengan nada teruja.

Mengulas mengenai filem tersebut, Juliana memberitahu, ia merupakan filem aksi dan masih belum mempunyai judul.

Previous Post Next Post