Ainan Tasneem belum mahu kahwin lagi


Bakal menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan BioProses UniMAP pada bulan September nanti, Ainan mengakui, dia berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Biologi di pusat pengajian sekitar Kuala Lumpur atau Selangor tidak lama lagi.

Cerita mengenai penyanyi Ainan Tasneem sentiasa ada di dada akhbar mahupun di portal hiburan biarpun sebelum ini dirinya tidak begitu aktif menyanyi sementelah fokus pada pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan BioProses.

Ironinya, cerita yang disampaikan bukanlah enak untuk didengar kerana kebanyakannya berkisarkan tentang hubungannya dengan teman lelaki.

Antara isi cerita yang berlegar mengenai Ainan, dia dikatakan asyik berkepit dengan kekasihnya, bahkan didakwa berpegangan tangan ketika keluar bersama serta berdua-duaan selama 45 minit di dalam kereta.

Seringkali dihimpit cerita negatif, pemilik nama sebenar Ainan Tasneem Redzuan, 23, itu tidak pernah melatah sebaliknya tenang menjawab satu persatu tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

"Kita tidak boleh puaskan hati semua orang walaupun tidak buat apa-apa. Apa yang penting, saya tahu menjaga diri, malah keluarga saya dan kekasih juga sudah mengenali. Kami tidak pernah melakukan sebarang perlakuan yang bertentangan dengan agama dan budaya kita," luahnya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Meskipun hubungan cinta yang terjalin dengan kekasih sering disalah erti, penyanyi lagu Aku Suka Dia itu tidak pernah mengambil keputusan untuk terburu-buru berkahwin demi menutup segala kontroversi yang membelenggu diri.


Sambung belajar

Perjalanannya dalam nyanyian dan pelajaran masih jauh, malah Ainan berhasrat untuk menyambung pengajiannya di Kuala Lumpur pula selepas tamat dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan BioProses pada bulan Jun lalu.

"Saya masih ingin melanjutkan pelajaran. Kemungkinan dalam bidang biologi di pusat pengajian Kuala Lumpur atau Selangor. Ia secara tidak langsung memudahkan saya fokus kedua-dua bidang yang disukai iaitu pelajaran dan nyanyian.

"Terbaharu, saya akan muncul menerusi single terbaharu ciptaan Alif Sleeq iaitu Pergilah. Saya turut berduet dengannya menerusi single berkenaan," ujarnya yang sebelum ini terpaksa menolak banyak tawaran nyanyian dan rakaman televisyen di Kuala Lumpur kerana belajar di Perlis.

Kata Ainan, biarpun kembali aktif menyanyi dia tetap mendahulukan pelajarannya, namun pada masa yang sama dia berharap kariernya dalam bidang nyanyian kembali menyinar menerusi single terbaharu bersama Alif itu.

Mengakui teruja berkolaborasi dengan Alif, Ainan menyifatkan jejaka dari Singapura itu seorang yang kreatif dan berbakat.

"Saya berasa teruja kerana diberi peluang berkolaborasi dengan Alif kerana dia sentiasa menghasilkan lagu yang catchy dan menambat hati pendengar.

"Bekerja dengan Alif juga menyeronokkan kerana dia sangat berbakat. Dia boleh menukarkan melodi lagu pada bila-bila masa yang dirasakan perlu," jelasnya yang sebelum ini pernah berkolaborasi bersama penyanyi Mark Adam menerusi lagu Malunya.

Tasha Manshahar

Sering dilihat berkolaborasi bersama penyanyi lelaki, akui Ainan, kemungkinan pada masa akan datang, dia akan berkolabrasi dengan penyanyi wanita pula iaitu Tasha Manshahar.

"Saya menghasilkan lagu bersama Tasha secara suka-suka. Insya-Allah, jika ada rezeki atas persetujuan kedua-dua label, kami akan pasarkan lagu itu," kongsinya yang akan fokus pada nyanyian solo selepas ini.

Tambahnya, menyanyi solo memberi peluang untuknya menghayati dan membawa lagu itu dengan gaya tersendiri, manakala berduet pula, dia harus serasi bergandingan dengan rakan duetnya itu untuk memberi hasil dan impak yang maksimum.

"Bagaimanapun, kedua-duanya saya selesa. Saya baru sahaja berkolaborasi dengan Alif, jadi saya mahu fokus untuk bergerak solo dulu selepas ini," ujarnya menutup perbualan.

Previous Post Next Post