Masya juara Ceria Popstar



MASYA akan gunakan wang kemenangan untuk pelajarannya.

Masya memang sudah ada bakat," itulah ayat pertama yang dituturkan oleh Hazama ketika ditanya media tentang perihal anak didiknya itu selepas pengumuman juara Ceria Popstar untuk musim kedua diumumkan.

Selaku pembimbing yang berkongsi pengalaman dengan Masya, Hazama berkata dia tidak menghadapi masalah sepanjang minggu mereka bekerjasama.

“Tidak susah untuk membentuk bakat Masya, kerana dia sendiri sudah mempunyai pakej lengkap untuk bergelar penghibur.

“Saya turut berkongsi pengalaman saya dengan dia sewaktu di Akademi Fantasia dahulu. Mana-mana teknik ekspresi yang tidak betul, saya akan perbetulkan. Dan ternyata saya lihat dia memang ada potensi untuk menang sejak dari minggu pertama lagi," katanya.

Sementara itu, Masya atau nama penuhnya, Siti Nur Masyitah Mohd. Yusoff, 14, ketika ditanya tentang wang kemenangan, memberitahu yang dia berhasrat untuk menyimpan wang tersebut untuk kegunaan pelajarannya nanti.






“Pelajaran tetap pilihan saya. Saya hanya akan membuat aktiviti yang tidak berkaitan hal sekolah sewaktu hari minggu dan musim cuti persekolahan sahaja," jelasnya yang membawa pulang wang berjumlah RM20,000 beserta trofi.

Pada pertandingan tersebut, Masya membawakan lagu Di Pintu Syurga, dendangan asal oleh Dayang Nurfaizah dan mendapat tepukan gemuruh penonton di dalam studio kerana seperti kata juri, Johan Raja Lawak, lagu yang dinyanyikan oleh Masya kelihatan begitu segar dan merdu.

“Bukan mudah membawa lagu seperti itu, namun dengan berbekal suaranya ‘serak-basah’, Masya berjaya membuktikan dia mampu membawa lagu tersebut," komen Johan.

Sebelum diangkat sebagai juara, Masya turut bersaingan dalam pusingan battle, di mana dia mendendangkan lagu baharu, Teman Bintang, hasil ciptaan penulis lirik dan komposer terkenal Zul 2 By 2.

Walaupun lagu ini pertama kali diperdengarkan kepada orang ramai, namun para juri sudah meramalkan lagu ini bakal hits dan mampu menjadi platform untuk Masya mengatur langkah dalam dunia hiburan tanah air.

Ini kerana susunan lagu ciptaan Zul 2 By 2 itu cukup sesuai dengan vokalnya sehinggakan para juri tidak mampu mencari di mana cacat-celanya persembahan Masya untuk pusingan battle itu.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta dari Kedah, iaitu Ahmad Iqbal Baqi Omar Baqi atau Iqbal pula yang merupakan saingan terdekat Masya, hanya berjaya menduduki tempat kedua.

Iqbal, 15, yang merupakan anak didik Alyah, berjaya membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi dari Astro.

Pada pusingan pertama, Iqbal yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu membawakan lagu Bahagiamu Deritaku nyanyian Hafiz.

Nyata kelunakan suara Iqbal begitu memukau setiap penonton di studio dan di rumah. Setiap minggu dia antara peserta yang sering kali mendapat undian tertinggi.

Malah, para juri turut sepakat mengatakan persembahan pertama dia pada malam itu antara yang terbaik dan luar biasa dengan emosi yang disampaikan melalui lagu tersebut.

Untuk persembahan terakhir dalam pusingan battle, Iqbal menyampaikan lagu hasil ciptaan Omar K, Ibu. Ketika mendendangkan lagu baharu ini, Iqbal dilihat sedikit tergelincir. Seperti kata juri profesional, Datuk AC Mizal, kawalan pernafasan Iqbal dapat dilihat agak sedikit lemah.

Manakala tempat ketiga diungguli oleh kumpulan JoMeGo (anak didik Kumpulan Sleeq) yang dianggotai oleh anak muda berusia 15 tahun iaitu Rusyhazim Isnawi Mohd. Noor dan Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy.

Mereka yang mendendangkan lagu Gadis Ayu, dendangan asal daripada kumpulan Black Dog Bone itu membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Manakala tempat keempat menjadi milik, Erissa Puteri Hashim atau Erissa, 11, anak didik Alyah yang turut memilih lagu Seindah Biasa, nyanyian asal oleh Datuk Siti Nurhaliza itu pula menerima wang tunai RM5,000 serta sebuah trofi.

Pertandingan yang turut diadili oleh pelakon Aaron Aziz dan Johan Raja Lawak serta Datuk Aznil Nawawi selaku penaung program ini dinilai menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton sebanyak 30 peratus dan 70 peratus daripada juri untuk pusingan pertama. Manakala untuk pusingan battle, peserta dinilai seratus peratus daripada juri.

Antara artis yang turut memeriahkan pertandingan akhir Ceria Popstar yang dikendalikan oleh Nabil Ahmad itu adalah Hafiz yang menyampaikan lagu baharunya, Matahari.

Disusuli dengan gandingan Hafiz, Hazama dan Akim berkongsi pentas dengan menyanyikan lagu asal One Republic, Counting Stars.

Stacy turut sama memberikan persembahan bertenaganya dengan membawakan lagu popularnya, Gilalah.

Kesemua peserta Ceria Popstar yang terlebih dahulu tersingkir, turut membuat persembahan sebelum menanti keputusan para juri bagi mengetahui siapakah yang bakal bergelar juara.

Menariknya, AC Mizal turut tidak melepaskan peluang bergandingan dengan peserta Ceria Popstar musim pertama, Trisya, menghiburkan penonton dengan lagu Happy nyanyi asal Pharrell Williams ini turut disusuli dengan persembahan dari Johan Raja Lawak.

Ikutan di seluruh dunia

Pengurus Saluran Astro Ceria Hadzelynda Khairuddin berkata, kesemua 10 peserta program Ceria Popstar bagi musim kedua ini secara automatiknya telah diserap di bawah pihak pengurusan Astro.

“Sambutan peserta musim kedua ini sungguh di luar jangkauan sehingga menjadi ikutan (trending) di seluruh dunia dalam laman sosial Twitter.

“Kami sungguh bertuah dapat cungkil bakat mereka yang sungguh luar biasa ini. Kita juga akan merancang aktiviti buat mereka dari segi bidang nyanyian lakonan dan juga pengacaraan bagi menyerlahkan minat mereka," katanya tentang program yang dikendali oleh Nabil itu.

Ceria Popstar 2 adalah sebuah program realiti yang berkonsepkan pertandingan nyanyian terbuka khusus kepada generasi kanak-kanak yang berumur 15 tahun dan ke bawah.

Program ini bukan sahaja pentas untuk mencari bakat baharu malah turut mendedahkan muzik pelbagai genre serta menggalakkan kreativiti setiap peserta yang tidak hanya tertumpu kepada peserta solo sahaja, malah pasangan duo dan berkumpulan.

Program yang ditaja sepenuhnya oleh Vitagen, disiarkan siaran langsung serentak di Astro Ceria (saluran 611), Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135) manakala stesen radio Sinar FM selaku radio rasmi.
Previous Post Next Post