Aktres Lana Nordin mengaku sedang rapat dengan seorang pelakon baru, Mas Khan sejak digandingkan dalam sebuah filem berjudul Biasan.
Menurut Lana ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kosmetik Airish Miracle di Hotel Royale Chulan pada Isnin, dia dan Mas Khan sedang mengenali hati budi masing-masing.
“Hubungan saya dan dia masih baru, kira-kira sebulan tetapi kenal dah lama. Ada juga yang kata cinta kami cinta lokasi tetapi sebenarnya tidak.
“Soal cinta saya serahkan kepada Allah dan sudah tentunya saya akan terus berkawan dan mencari jodoh saya.
“Saya dan Mas sedang berkawan rapat, kalau betul saya bercinta dengan dia, saya akan beritahu. Sejujurnya, saya enggan letak status bercinta dalam hubungan kami kerana jodoh itu kuasa Allah.
“Saya bimbang sekiranya tidak menjadi, akan timbul cerita-cerita negatif. Biarlah kami rapat sebagai kawan dahulu, jadi kalau betul kami tiada jodoh, kami boleh terus berkawan,” ujar Lana panjang lebar.
Tambah Lana, dia selesa berkawan dengan jejaka berusia 20-an itu kerana sikapnya yang matang dan persamaan yang ada pada diri mereka.
“Mas seorang yang berterus-terang dan berfikiran matang. Dia tidak kisah akan perkara yang remeh-temeh dan seorang yang berfikiran terbuka,” katanya.
Selain itu menurut Lana, tidak perlu ditimbulkan isu ‘menumpang populariti’ kerana baginya tiada istilah itu sekarang.
“Tidak timbul soal tumpang popularity, saya tahu apa yang saya buat dia juga begitu. Saya bawa dia ke majlis-majlis hiburan kerana mahu dedahkan dia dengan acara-acara hiburan selain membantu dia membina ‘networking’ dengan rakan-rakan artis lain serta media,” katanya lagi.
Dalam pada itu Lana turut menegaskan agar tidak dikaitkan lagi dengan kontroversi percintaannya yang lalu.
“Saya tidak mahu fikir tentang lelaki itu dan saya tidak mahu kontroversi tersebut menyekat saya untuk berkawan dengan lelaki lain.
"Saya tetap mencuba dan berkawan dengan mana-mana lelaki serta cari yang sesuai dijadikan suami, kalau Tuhan sudah takdirkan saya berkahwin usia 40 saya terima," katanya mengakhiri perbualan.