Nubhan Pasti ada hikmahnya


PASANGAN ini reda dan berharap dikurniakan rezeki anak secepat mungkin.

KITA hanya merancang, sebaliknya Tuhan yang menentukan. Perkhabaran gembira yang menyelubungi keluarga Nubhan menanti kehadiran cahaya mata pertama bertukar duka apabila isterinya, Afifah Hidayah Ahmad Tawfek sah mengalami keguguran baru-baru ini.

Afifah Hidayah, 27, yang ketika ini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan Pergigian di Mansoura, Mesir mengalami keguguran ketika kandungannya berusia tujuh minggu.

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 30, berkongsi cerita sedih itu di laman Instagram peribadinya iaitu @nubhan baru-baru ini.

“Belum rezeki lagi. Reda dan pasti ada hikmahnya. Insya-Allah rezeki lain pasti ada,” ujarnya.

Dalam pada itu menerusi sebuah portal hiburan, Nubhan menjelaskan bahawa dia ada merancang untuk ke Mesir sebaik diberitahu mengenai kehamilan tersebut oleh isterinya baru-baru ini.


Cuma katanya, rancangan itu terpaksa ditangguhkan memandangkan isterinya ketika ini sedang sibuk menghadapi peperiksaan.

Selain itu, katanya, dia juga terkilan gara-gara tidak dapat bersama di sisi Afifah Hidayah dan berharap supaya isterinya dapat mengendalikan dugaan itu dengan tabah.

Meskipun bersedih, pelantun lagu Kisah Kasih itu tetap menerima berita tersebut dengan hati yang terbuka dan berharap supaya diberikan rezeki anak sekali lagi secepat mungkin.

Pada masa sama ujarnya, mereka sekeluarga di tanah air juga memberikan sokongan moral terhadap Afifah Hidayah yang kini dijaga rakan-rakannya selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.

Nubhan menjelaskan, isterinya turut risau jika berita sedih itu membuatkan dia lebih kecewa gara-gara begitu teringinkan cahaya mata selepas lima bulan mendirikan rumah tangga.

Terdahulu, pasangan itu selamat diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan di Seremban 2, Negeri Sembilan pada 29 Ogos tahun lepas selepas lebih enam tahun menyulam cinta.

Mereka terlebih dahulu berkenalan sekitar tahun 2008 sewaktu Nubhan terlibat dalam satu program persembahan di Pulau Pangkor, Perak sebelum mengikat tali pertunangan pada 7 Oktober tahun lepas.

Selain sibuk mengendalikan perniagaan produk kesihatan dan kecantikan Juwita Divine, Nubhan juga dijangka tampil dengan album terbaharu berjudul Romantika di bawah syarikat rakaman Nova Music dalam masa terdekat.

Previous Post Next Post