Saleem manja dan romantis


Saleem akan berubah menjadi lelaki romantis apabila berada di sisi isteri, Julia.

Lafaz nikah bukanlah satu ayat yang boleh dibuat sebarangan. Lafaz itu adalah satu ikrar bagi dua hati untuk menerima antara satu sama termasuk kelemahan dan kelebihan masing-masing.

Minggu ini, isteri kepada penyanyi, Saleem Iklim, Juriah Bachok atau lebih mesra disapa Julia, 51, sempat berkongsi kisah susah senangnya bersama dengan penyanyi itu.

Menyingkap kembali detik pertemuan mereka berdua, jelas Julia, pertemuan mereka tidak dirancang dan hanya kebetulan.




“Mungkin sudah dijodohkan untuk bertemu. Pada asalnya, saya hendak bertemu dengan seorang rakan saya untuk berbincang tentang perniagaan. Apatah lagi dahulu saya memang seorang usahawan.

“Usai bertemu dengan rakan saya, dia menyuruh saya tunggu sebentar untuk bertemu dengan seorang artis. Ketika itu saya agak sibuk, jadi saya tidak mengikuti sangat dunia artis ini,” jelasnya.

Namun, tanpa disangka-sangka, artis yang dimaksudkan itu adalah Saleem Iklim dan dia sendiri terkejut apabila ditemukan dengan seorang artis yang dianggap sebagai legenda.

Bermula daripada pertemuan dua mata, akhirnya mereka mula bertukar-tukar nombor telefon.

“Selepas tukar nombor telefon itu, selang beberapa hari selepas itu, Saleem mula menghubungi saya dan kami mula berborak tentang pelbagai perkara,” ujarnya.

Tetapi ketika itu, ujar Julia, Saleem sering menghubunginya untuk berkongsi rasa dan permasalahan yang dihadapinya.

Saya mula rasa kasihan pada dia apatah lagi dia adalah seorang penyanyi legenda tetapi tidak diberi perhatian yang baik.

“Bermula daripada situ, dia mempelawa saya untuk menjadi pengurus dia. Mungkin sudah tertulis jodoh kami, empat tahun selepas itu, kami akhirnya berkahwin,” jelasnya.

Empat tahun itu bukanlah tempoh yang singkat bagi seseorang mahu mengenali diri seseorang dan itu diakui sendiri oleh Julia.

“Saya ketika itu sangat sedih dengan keadaan dia. Ramai yang tidak menghiraukan dia seolah-olah dia begitu hina hanya kerana kesilapannya.

“Saya ketika itu fikir yang masyarakat seolah-olah tidak memberi peluang kepada Saleem untuk membuka haluan hidup baharu,” jelasnya.

Bagi Julia, berkahwin dengan Saleem bukan hanya sekadar menjadi isteri, tetapi lebih kepada menggalas tanggungjawab untuk menjaga lelaki itu daripada gejala negatif.

Hampir 20 tahun melayari rumah tangga, jelas Julia, ketika ini sudah tidak timbul persoalan tentang Saleem dan dadah.

“Dia sudah menjadi orang baharu. Saya yang rapat dengan dia dan tidak pernah lekang dengan dia. Jadi saya cukup kenal suami saya,” jelasnya.

Bagi Julia, sudah cukup masanya untuk dia berhenti bercerita tentang gejala silam Saleem. Usahlah diungkit perkara lama lagi.

Makan sepinggan

Jika dilihat cerita tentang Saleem dan isteri, sudah terlalu banyak cerita tentang pengorbanan Julia menjaga suaminya itu.

Cinta Kami tidak menafikan pengorbanan itu. Tetapi kali ini, Cinta Kami mahu tahu sisi lain Saleem, 54, sebagai seorang suami.

“Saleem ini sebenarnya seorang yang kelakar. Humor dia itu bukan kerana ceritanya, tetapi bila melihat gelagatnya sewaktu bercerita.

“Kalau dia bercerita tentang perkara yang kelakar. Belum sempat habis bercerita, dia sudah gelak terbahak-bahak.

“Melihat perangai itu yang buat saya ketawa sebenarnya. Kadang-kadang saya rasa kelakar bukan sebab ceritanya, tetapi kerana gelak tanpa hentinya yang lebih kelakar berbanding cerita,” jelas Julia tersenyum.

Seperkara lagi tentang sifat Saleem yang tidak diketahui oleh masyarakat ialah sifat romantis yang dimiliki penyanyi berasal dari Terengganu itu.

“Memang sejak daripada mula berkahwin lagi, kami tidak pernah makan pinggan asing. Selalunya kami akan makan berdua satu pinggan.

“Kalau makan di kedai sekalipun, kami akan tetap makan satu pinggan. Saleem sejak daripada mula kahwin, hinggalah sekarang, dia memang seorang yang romantis,” jelasnya.

Dilihat sebagai seorang penyanyi yang tegas, di rumah Saleem bukanlah begitu. Malah, bersama dengan isterinya, sifat itu bertukar menjadi manja.

“Saleem bukan sahaja romantik, tetapi juga seorang yang manja. Kalau isteri lain suka dapat suami manja ini. Tetapi saya pula kadang-kadang sampai jadi rimas dengan sikap manjanya itu,” jelas Julia tertawa.

Jelas Julia lagi, Saleem adalah seorang anak tunggal dan hidupnya lebih lama bersama dengan neneknya.

Jadi, selepas berkahwin dengan Julia yang mengambil berat dan mencurah kasih sayang kepadanya, keadaan itu membuatkan dia menjadi manja dengan Julia.

“Dia memang suka menempek tepi saya. Kadang-kadang, kalau menonton televisyen, dia akan duduk cukup dekat dengan saya. Bila disuruh jauh sedikit, mulalah dia merajuk dan kata saya tidak sayang dia.

“Kalau saya keluar rumah tinggalkan dia, baru sampai di kereta dia sudah mesej saya sama ada sudah sampai atau belum, balik pukul berapa.

“Memang Saleem kalau boleh tidak mahu lekang dengan saya dan sikap manjanya yang buat saya tertarik dengan dia,” jelasnya.

Biarpun selama ini banyak perkara negatif dilemparkan terhadap Saleem, hakikatnya, hanya Julia yang benar-benar mengenali betapa baiknya hati budi Saleem.

Sabar bertempat

Hampir 20 tahun melayari bahtera rumah tangga, kesabaran menjadi kunci kepada kebahagiaan rumah tangga pasangan ini.

Namun, jelas Julia, bersabar itu bukanlah bermaksud perlu mengalah setiap masa, sebaliknya ia perlu dilakukan secara bertempat.

“Berkahwin dengan Saleem, dia seorang yang sensitif dan mudah terasa. Jadi, kalau dia tengah marah itu, saya lebih selesa untuk diam.

“Diam itu bukan bermaksud untuk mengalah dan menerima sahaja sesuatu yang salah, sebaliknya mengambil masa untuk meredakan keadaan.

“Kadang-kadang Saleem marah pada perkara yang tidak sepatutnya. Tetapi saya lebih selesa diam dan biarkan dia reda dahulu.

“Bila saya lihat masa sudah sesuai, saya akan gunakan masa itu untuk membetulkan dia dan memberitahu apa yang salah,” jelasnya.

Sebagai seorang isteri, perkara itu sangat penting jelas Julia. Malah, tambah wanita itu, mungkin aspek-aspek sebegini yang buatkan dia dan Saleem kekal hingga hari ini.



Previous Post Next Post