Yana Samsudin dan Fadzil Zahari berkawan selama hampir tujuh tahun.



KISAH hubungan mesra Yana Samsudin dengan Fadzil Zahari yang juga adik kepada pelakon Farid Kamil sering mendapat perhatian. Yana sendiri memberitahu pihak media status hubungan mereka hanyalah kawan dan tidak lebih daripada itu.

Namun, semua persoalan terjawab apabila Yana, 30, mendedahkan sendiri kepada media menerusi sebuah akhbar tempatan Ahad lalu bahawa dia akan mengakhiri zaman bujangnya bersama Fadzil, 32, pada 13 Februari ini. Mereka akan bernikah di kediaman keluarga Yana di Yong Peng, Johor.

Dalam temu bual itu, Yana turut memaklumkan majlis persandingan akan diadakan di Dataran Gemilang Yong Peng keesokannya.




Hits cuba menghubungi Yana sendiri untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkahwinan itu. Yana mengaku akan bernikah dan bercerita mengenai persiapan hari bahagianya.

HITS: Adakah benar Yana akan bernikah dengan Fadzil?

YANA: Ya, betul. Sekarang saya berada di Thailand membeli sedikit barang-barang untuk perkahwinan. Memang sibuk dan saya juga berdebar menanti hari kami akan dinikahkan. Sudahlah seminggu lagi. Tambah pula persiapan pernah tergendala kerana saya dimasukkan ke hospital selama lima hari kerana demam denggi. Sekarang ni, Alhamdulillah kerana persiapan sudah 70 peratus siap. Terima kasih buat Fadzil kerana banyak membantu.
Sudah berapa lama buat persiapan?

Advertisement
Persiapan sudah bermula sejak sebulan yang lalu. Syukur kerana ada pihak yang sudi memberi tajaan seperti kad jemputan, cenderamata, solekan, persalinan semasa nikah dan persandingan serta pelamin.

Namun, majlis kami dibuat secara sederhana sahaja dengan tema moden klasik (persandingan) dan fresh flower (akad nikah). Majlis persandingan bagi pihak lelaki pula akan diadakan di kediaman keluarga Fadzil di Jitra, Kedah pada 7 Mac ini.

Kenapa Yana pernah menafikan dilamar Fadzil dan seakan berahsia mengenai perkara (lamaran) itu?

Saya sebenarnya tidak tahu yang saya dilamar oleh Fadzil. Kami sememangnya tidak pernah bercinta.

Saya tidak sangka Fadzil menyimpan hati dan perasaan kepada saya. Kalau lelaki lain, mungkin sudah lama angkat kaki kerana terlalu lama menunggu memandangkan persahabatan kami hampir tujuh tahun.

Ketika saya dilamar pada 14 Disember tahun lalu, saya sibuk dengan separuh akhir Anugerah Juara Lagu. Saya hanya tahu selepas tiga hari Fadzil menghantar rombongan meminang, itu pun saya terima gambar melalui family group dalam laman Weechat. Saya sangat terkejut.

Selepas itu, ayah menyuruh saya membuat solat istikharah dan saya pun bersetuju untuk berkahwin dengan Fadzil. Sebelum ini saya tidak terlalu mendedahkan kisah kahwin kerana saya sendiri tidak tahu siapa akan melamar saya.

Takut tak jadi nanti kecoh dan saya sendiri yang malu. Bila sudah ada tarikh dan semuanya berjalan lancar baru saya umumkan. Sekarang semua sudah tahu.

Yana sudah bersedia menjadi isteri kepada Fadzil?

Sekarang Fadzil menjadi teman lelaki saya dan tidak lama lagi akan menjadi suami saya. Saya terima dia dengan seadanya. Ya, saya sedia menjadi isteri kepada Fadzil.

Tidak pernah bercinta, macam mana sesuaikan diri?

Selepas dia melamar, memang saya susah sesuaikan diri. Nak tanya sudah makan ke belum atau dah habis kerja, semuanya menjadi sukar. Maklumlah, kami bukannya pernah bercinta. Sekarang perlu buat semua itu supaya lepas kahwin kami tidak kekok. Kalau dulu tak jumpa pun tiada apa-apa (seloroh).

Akhir sekali, kenapa memilih tarikh tersebut sebagai tarikh persandingan, apa keistimewaannya?

Tidak ada apa-apa signifikan. Kalau diikutkan, memang tarikh itu dilihat agak cepat dan terlalu suntuk untuk kami berdua membuat persiapan.
Tarikh itu menjadi pilihan kerana semua keluarga boleh berkumpul. Adik Fadzil sudah pulang ke tanah air selepas menamatkan pelajaran di India manakala adik saya pula yang sedang belajar di sebuah universiti tempatan sedang menghabiskan cuti semester.



Previous Post Next Post