TIDAK mendapat pendidikan yang sempurna dan pernah bergelar nelayan serta buruh kasar, Zero bersyukur dengan rezeki yang dimiliki sebaik bergelar pelawak.
Peluang bekerja bagi sesi fotografi muka hadapan ruang hiburan akhbar Kosmo! bersama kumpulan Zero yang dianggotai oleh tiga anak kelahiran Kudat, Sabah ini digunakan sepenuhnya bagi mengorek cerita tiga beradik iaitu Mohd. Syaiful Doli Sharif (Syaiful), 25, Mohd. Kadir Doli Sharif, 23, (Kadir) dan Sharid Kunal Doli Sharif (Atu), 21.
Manakan tidak, kesukaran mengatur sesi fotografi dek kerana kesibukan menjalani persiapan bagi pentas akhir MLM 2014 yang berlangsung malam ini menyebabkan ruang masa mereka begitu terhad kebelakangan ini.
Masa tiga jam yang diperuntukkan menyebabkan penulis cuba merangkumkan sebanyak mungkin hikayat kehidupan seni tiga pemuda yang berasal daripada suku kaum Bajau Simunul ini.
Terus mesra dengan senyuman yang bersahaja, Zero bercerita tentang masa depan dan punca mereka terjun ke dalam bidang seni. Ada sisi duka dalam kehidupan awal mereka. Sisi duka itulah yang menjadi pendorong buat mereka memanjat tinggi impian yang ditanam.
Sengaja memilih label Zero sebagai pengenalan diri, kata trio lawak ini lagi, ia punya signifikan dengan kehidupan mereka yang disifatkan serba kosong. Kini, ruang kosong dan lompong itu mahu dipenuhi dengan manfaat yang baik demi mengubah kehidupan masa depan mereka.
Kadir yang pada ketika itu baru sahaja menyudahkan santapan lewat tengah harinya memberitahu bahawa mereka ingin mengumpul wang sebanyak mungkin bagi membantu keluarga di kampung.
Kehilangan bapa mereka, Doli Sharif pada tahun 2012 kerana sakit tua menjadi titik permulaan kepada tiga beradik ini untuk menjalani uji bakat Raja Lawak musim keenam yang ketika itu diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.
“Pemergian ayah menjadi pembakar semangat kepada kami untuk mengubah kehidupan sedia ada. Hal ini kerana tanggungjawab untuk meneruskan kehidupan dipikul penuh oleh kami adik-beradik setelah kehilangan ayah.
“Alhamdulillah, kami diterima menjadi finalis Raja Lawak musim keenam ketika itu, sekali gus berjaya memperoleh tempat kedua (selepas Shiro). Pentas tersebutlah yang banyak membuka ruang kepada kami untuk terus menapak dalam industri seni,” ujar Kadir yang menjadikan arwah bapanya yang cacat penglihatan sebagai idola.
Tanpa membiarkan sedikit ruang senyap antara perbualan, Atu terus memberitahu bahawa mereka ingin menjadi pengusaha ikan apabila tidak lagi bergiat aktif dalam bidang seni.
“Pekerjaan kami sebelum bergelar pelawak ialah nelayan dan buruh kasar. Hanya pekerjaan itu sahaja yang menjadi kepakaran kami bertiga semenjak kecil.
“Lagipun, memang lumrah kami sebagai suku kaum Bajau yang tinggal di pesisiran pantai dan bekerja sebagai nelayan. Kami berharap agar dapat menjadi pengusaha ikan dan mempunyai kedai sendiri di Kudat, Sabah suatu hari nanti,” katanya bersungguh-sungguh.
Silat Gerak Kilat
Terus membawa perbualan mengenai masa lalu mereka, Syaiful memberitahu, kehidupan mereka sebelum ini hanya berkisar mengenai kehidupan di kampung sahaja dan tidak pernah terniat untuk keluar dari kepompong tersebut.
“Sejak kecil sehingga dewasa, kehidupan kami hanya berkisar di kampung sahaja. Memang kami budak kampung sudah terbiasa dengan aktiviti kampung dan pelajaran bukanlah menjadi keutamaan pada ketika itu.
“Tambahan pula dengan kesempitan wang pada ketika itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar setakat tingkatan satu sahaja bagi membantu menyara kehidupan keluarga.
“Bermula dari situlah saya hanya bekerja sebagai seorang nelayan bagi mengumpul wang membantu ayah dan menampung kos kehidupan keluarga kami,” katanya yang mengakui sedikit nakal ketika remaja dahulu.
Walaupun tidak menitikberatkan pelajaran, namun tiga beradik ini mengakui bahawa mereka banyak mempelajari ilmu lain selain bidang pelajaran. Antara ilmu lain yang dipelajari mereka sejak kecil ialah ilmu mempertahankan diri iaitu Silat Gerak Kilat.
“Bapa kami bertanggungjawab mengajar kami ilmu mempertahankan diri. Disebabkan hal tersebutlah kami mampu membuat aksi akrobatik untuk dijadikan nilai tambah dalam persembahan kami,” katanya.
Merendah diri, Syaiful mengakui bahawa mereka tidak mempunyai sebarang pendidikan tinggi melainkan bakat dan kemahiran yang telah dipupuk sejak kecil.
“Kami tidak mempunyai sebarang pendidikan yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap dan selesa. Kami hanya mempertaruhkan bakat dan kemahiran kami untuk dijadikan modal kepada khalayak.
“Alhamdulillah, sedikit pintu rezeki dibuka bagi kami kini untuk meneruskan kehidupan dan saya berharap pentas lawak ini mampu menjadi platform kami supaya lebih berjaya dalam bidang seni,” ujarnya sambil tersenyum manis ala-ala watak Melati yang pernah dilakonkannya semasa minggu kelima MLM 2014.
Di sebalik riak wajah yang tenang dan bersahaja, tersembunyi perasaan resah gelisah yang jatuh jauh di dalam hati mereka. Ia berkaitan dengan kepantasan memuntahkan idea segar yang mampu menggeletek peminat.
Bergaduh demi idea
“Kami akui, bukan mudah dan sukar sekali untuk mencari idea yang segar dan bernas setiap minggu di pentas MLM 2014. Setiap strategi perlu diatur rapi bagi memastikan lawak yang dihasilkan segar dan belum pernah dipertontonkan sebelum ini.
“Adakalanya, kami pernah bergaduh sesama sendiri apabila berbincang mengenai pemilihan tema dan idea yang sesuai. Bagaimanapun, pergaduhan tersebut terlerai dengan sendirinya apabila masing-masing mencapai kata sepakat.
“Insya-Allah, kami akan lebih rajin melakukan penyelidikan dan berbincang mengenai lawak-lawak yang sesuai dengan semua jenis masyarakat, sekali gus mampu diterima baik oleh peminat kami,” jelas Atu.
Melahirkan rasa syukur kerana sejak berada di pentas MLM 2014 rezeki mereka terbuka luas dan lebih dikenali, Kadir menjelaskan, mereka banyak belajar daripada pengalaman dalam memantapkan lagi persembahan kumpulan Zero.
“Sebelum ini, saya akui agak sukar untuk kami mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan, terutamanya disebabkan kesukaran kami untuk mengetahui apa yang dikehendaki oleh peminat. Tambah menyukarkan ialah loghat kami yang tidak semua orang faham terutama masyarakat di Semenanjung.
“Bagi mendapat tempat dan menjadi perhatian, kami mencuba keistimewaan lain seperti menggunakan lawak yang lebih kepada pergerakan fizikal. Itulah yang menjadi keutamaan kepada kami untuk terus mencuri hati peminat,” katanya.
Ditebak mengenai perancangan mempersembahkan lawak yang hebat pada malam final, kumpulan ini yakin untuk tampil lebih mantap dengan menggunakan seluruh ‘kepakaran’ yang ada.
“Insya-Allah. Kami memang mahu menang dan tempat pertama menjadi sasaran utama kami. Kami berjanji akan memberi sepenuh perhatian dalam mencari idea pada malam yang diharapkan menjadi sejarah paling bermakna bagi kami,” kata Atu yang sudah bersedia dengan tema bebas yang akan ditugaskan pada pentas akhir MLM 2014 di Stadium Putra, Bukit Jalil malam ini.