Milla Jovovich si penyihir?



Milla Jovovich terus menerus diberi kepercayaan dalam dunia perfileman dengan kepelbagaian watak.

TERKENAL dengan watak Alice menerusi filem Resident Evil, bintang ini terus menerus diberi kepercayaan dalam dunia perfileman dengan kepelbagaian watak.

Walaupun kini usianya kian menginjak 40 tahun, namun Milla Jovovich, masih menjadi pilihan produksi untuk membawakan watak utama filem.

Bakal muncul dalam Resident Evil 6 tidak lama lagi, Jovovich kini menerima satu lagi tawaran hebat untuk membintangi filem fantasi epik, In The Lost Lands.

Filem ini diangkat berdasarkan cerita pendek hasil tulisan penulis, Game Of Thrones, George RR Martin, pada tahun 1982, yang mengisahkan mengenai wanita protagonis yang berada dalam dunia magis.

Dilengkapi dengan makhluk-makhluk lain di alam fantasi, Jovovich bakal bergandingan bersama pelakon, Justin Chatwin dan ianya akan menjalani penggambaran pada akhir tahun ini di Jerman.

Bakal menggalas peranan sebagai, Gray Alys, bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada kepastian daripada Jovovich sendiri adakan dia akan menerimanya mahupun tidak.

Sehingga kini, perbincangan bersama kru produksi masih lagi berlanjutan dan kemungkinan besar, peminat bakal menyaksikan aksi Jovovich menerusi filem ini. Difahamkan, filem adaptasi ini bakal menemui penonton pada tahun hadapan.





Cabaran Resident Evil

Menyelak penglibatan aktres cantik ini, bermula tahun 1988, Jovovich telah membintangi lebih daripada 20 filem termasuk, Two Moon Junction, Return to the Blue Lagoon, Kuffs, Chaplin, Dazed and Confused, The Fifth Element, He Got Game, The Messenger: The Story of Joan of Arc, The Claim, The Million Dollar Hotel dan Zoolander.

Mula diberi peranan sebagai Alice menerusi Resident Evil pada 2002, Jovovich terus diberi kepercayaan untuk membintangi sekuel itu sehingga ke penghujung episod.

Untuk sekuel terakhir, Resident Evil : The Final Chapter, filem ini telah diperam sejak dua tahun lalu kerana memberi peluang kepada Jovovich untuk melahirkan anak terlebih dahulu.

Bakal menjalani penggambaran pada Ogos tahun ini, Jovovich memberitahu bahawa proses produksi filem ini terpaksa ditunda kerana dia sedang hamil anak kedua hasil perkongsian hidup bersama, Paul WS Anderson.

"Saya beruntung kerana kehamilan kali ini tidak merosakkan badan saya secara sepenuhnya kerana berat badan tidak naik mendadak seperti mengandungkan anak pertama.

"Jadi, untuk kembali ke lokasi, saya tidak memerlukan olahraga yang keras dan saya bakal bersiap-siap untuk filem sekuel ini," katanya yang bakal menjalani penggambaran filem itu di Cape Town, Afrika Selatan, seperti sekuel terdahulu.

Untuk filem ini pula, ia bakal ditayangkan secara umum pada 2 September tahun hadapan dan turut mendapatkan khidmat pengarahan daripada suaminya.

Tambah Jovovich, suaminya berpendapat bahawa, dua perkara iaitu mengandung dan perlu membunuh zombie bukanlah satu kombinasi yang tepat.

"Dia (Anderson) amat menitik beratkan soal kesihatan dan keselamatan saya dan bayi yang bakal lahir. Setelah melalui proses perbincangan yang agak lama, dia memutuskan untuk menunda sehingga bayi kami lahir," katanya lagi.


PROFIL

Nama Penuh : Milica Bogdanovna Jovovich
Tarikh Lahir : 17 Disember 1975
Tempat Lahir : Kiev, Ukrainian SSR, Soviet Union
Kerjaya, Aktres, model, pemuzik dan pereka fesyen
Tahun Aktif : 1985 hingga kini
Pasangan : Paul W. S. Anderson
Bilangan Anak : 1 Orang



Previous Post Next Post