GAYA pelukan Ifa Raziah terhadap Hisyam Hamid dalam Gegar Vaganza yang dianggap tidak sopan.
GEGAR VAGANZA awalnya sempurna sehinggalah sampai ke malam kemuncak Ahad (4 Januari) lalu. Juara yang sudah diramal, Ayai Illusi menang tanpa dipertikai dan pulang dengan hadiah wang tunai bernilai RM100,000.
Peserta final yang lain, Mamat Exist pula membangkitkan semula kredibiliti vokal dan imejnya sebagai penyanyi yang telah lama hilang. Begitu juga dengan Haleeda yang bersinar dengan kelantangan vokal dan nyanyian cemerlang, padahal kemampuannya yang selama ini hanya terlihat melalui lagu Setia Kasih. Itu pun telah lama terkubur dan Haleeda sendiri beralih ke arah drama televisyen untuk survival karier seni.
Abaikan kemasukan Ifa Raziah yang sekadar boleh menyanyi sebagai antara peserta final, matlamat Gegar Vaganza terlihat sukses di situ. Ayai kembali merajai pentas dan Mamat yang namanya pernah dihitamkan oleh pengaruh dadah pula kembali mendapat kepercayaan dan penerimaan peminat.
Masuk ke bahagian pengisian dan persembahan, program yang disiarkan di saluran Ria (104) itu menutup tirai dengan banyak cela. Juara otai yang hendak didendang, malangnya gimik untuk menaikkan rating program mengundang padah.
Semua peserta final mahu menang dan atas misi itu, setiap yang bertanding menggunakan segala kehebatan yang ada untuk menawan markah juri. Rasanya semua sedia maklum bahawa dalam kalangan finalis, Ifa Raziah paling di belakang berbanding Mamat, Haleeda, Ayai, Rahmat Mega dan Fazli Zainal. Kehebatan Ifa hanya dengan lakonan, jadi itu medium yang digunakan sebagai senjata.
Ifa mengundang aktor kacak, Hisyam Hamid untuk bersama di atas pentas. Adegan Hisyam memeluk Ifa masih boleh diterima walaupun mengejutkan tetapi rangkulan balas Ifa dengan jari-jemarinya mengusap pipi Hisyam sangat keterlaluan. Ditambah lagi dengan bahasa tubuh Ifa yang sarat aset kewanitaan itu. Ada kawan Mizz Lahar cakap, ibaratnya, sikit lagi nak berlaga hidung dengan Hisham, siap tergamak lagi nak rangkul pinggang Hisham dengan pahanya yang mantap. Memang seksa banyak mata yang menengoknya. Macam senjata makan tuan, persembahan daring Ifa ditegur salah seorang pengkritik malam itu, Datuk Rosyam Noor. Kutukan untuk Ifa merebak jadi viral dalam media sosial.
Ada juga yang cakap pada Mizz Lahar, penerbit program harus jaga pengisian program ini dengan baik seperti sensitif tentang pakaian artis dan sikap mereka.
Maklumlah yang masuk bertanding bukan lagi belia remaja, tapi sudah berusia dan beranak-pinak.
Jadi macam tak manis dipertontonkan sangat kepada umum cara mereka lepas geram di atas pentas.
Tidak cukup dengan aksi Ifa yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum, over bak kata orang putih, muncul pula babak lamaran cinta antara pasangan pelakon yang selama ini tidak pernah mengaku bercinta, Hairul Azreen dan Hanis Zalikha. Untuk kemuncak sebuah program pertandingan nyanyian, Astro hanya sempat memikirkan gimik pengakuan cinta Hairul Azreen dan Hanis di atas pentas. Jika hanya itu yang pihak produksi fikirkan, itu sahajalah standard dan maruah sebuah malam akhir pertandingan mencari penyanyi paling otai di stesen itu. Itu gimik paling memualkan yang pernah berlaku di mana-mana pentas pertandingan. Tak ada kaitan pun Hairul dan Hanis dengan pertandingan nyanyian penyanyi otai. Kalau Mamat atau Haleeda yang umum nak menikah lagi, itu logik juga.
Kemunculan Amelina turut mendapat perhatian. Maklumlah selepas lebih 10 tahun tidak menyanyi secara terbuka, Amelina muncul dengan lagu hitnya, Rindu. Ada yang suka, ada yang kutuk.
Mizz Lahar difahamkan, Amelina pernah menarik diri daripada pertandingan itu pada saat-saat akhir, mungkin itu cara Amelina balas pelawaan Astro yang pernah ditolak.
Apa pun, apa yang terjadi dalam Gegar Vaganza barangkali hasil daripada keterujaan stesen televisyen untuk menggamatkan program terbitan mereka. Perlumbaan rating dan kegilaan trending di media sosial memang baik untuk pengiklan tetapi bukan prestij sesebuah pertandingan – pertandingan yang mempertaruhkan kredibiliti penyanyi khususnya.
Mizz Lahar: Zaman sekarang ramai orang yang sanggup jadi kambing hitam asalkan dapat peluang.