Baju pink Neelofa di AME bukan rekaan WanPa



KUALA LUMPUR, 10 FEBRUARI 2014: Nampaknya penampilan pembukaan pelakon dan pengacara sensasi Neelofa ketika malam Anugerah Meletop Era (AME) telah mendapat kritikan hebat daripada ramai pihak terutama peminat di laman sosial.

Persalinan jumpsuit merah jambu yang menggunakan fabrik berkilat,dikatakan agak menjolok mata dan kurang sesuai digayakan oleh pengacara anugerah berkenaan yang sentiasa tampil dengan gaya menawan lagi bergaya.

Malah kerana Neelofa didapati selalu menggunakan khidmat pereka fesyen duo, WanPa, ramai yang menuding jari kepada pereka fesyen berkenaan kerana telah melahirkan satu rekaan yang tidak sepadan dengan imej pelakon itu.

Bercakap kepada portal ARTISMELETOP sebentar tadi, Rosix selaku salah seorang pereka fesyen WanPa menegaskan bahawa pakaian yang dipakai Neelofa itu bukanlah hasil rekaan pihaknya.




“Kepada mereka yang sudah mengenali dengan rekaan WanPa sebelum ini, pasti mengetahui itu bukannya rekaan kami. Takkanlah kami nak buat pakaian seperti itu.

“Bagaimanapun saya mengakui bahawa saya terlibat dengan proses fitting untuk pakaian berkenaan. Itu pun sekadar membantu Neelofa yang memerlukan khidmat saya ketika itu.

“Saya berada di belakang pentas untuk memastikan tiada yang longgar atau ketat dengan persalinan Neelofa ketika itu. Sekadar menolong kawan,” katanya.

Pada malam AME yang lalu, Neelofa telah tampil dengan tiga persalinan berbeza yang mana dua daripadanya adalah rekaan pereka fesyen popular, Hatta Dolmat.

Tambah Rosix lagi,pihak WanPa mengambil keputusan untuk tidak melahirkan pakaian buat Neelofa ketika anugerah berkenaan adalah kerana dia baru saja pulang dari Jepun pada Selasa lalu.

Menurut Rosix lagi, agak terlalu singkat untuknya menghasilkan persalinan buat Neelofa apatah lagi ianya merupakan anugerah yang cukup bermakna buat pelakon cantik berkenaan.

Rosix bagaimanapun turut mengakui bahawa pihaknya turut membantu Neelofa untuk mendapatkan tukang jahit yang sesuai bagi menyiapkan persalinan jumpsuit berkenaan seperti yang dikehendaki aktres itu.

“Material dan rekaan sudah pun ada, jadi saya cuma membantu Neelofa dan pihak penganjur untuk mendapatkan tukang jahit yang sesuai kerana saya memang tak boleh laksanakannya kerana waktu yang singkat.

“Bagi saya dua persalinan Hatta Dolmat sudah memadai untuk Neelofa pada malam itu, tetapi pihak penganjur mahukan satu lagi pakaian tambahan untuk acara pembukaan yang mudah untuk Neelofa turun dari tempat yang tinggi.

“Itu yang terhasilnya rekaan jumpsuit merah jambu itu. Lagipun pula AME bukanlah seperti majlis anugerah yang lain kerana temanya lebih bersahaja,” katanya panjang lebar.
Previous Post Next Post