Ayai Illusi dinobat juara #GegarVaganza



Malam Ahad lalu, seluruh isi Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bertepuk gembira apabila penyanyi Ayai Illusi diumumkan sebagai juara program realiti nyanyian Gegar Vaganza.

Kemenangannya sudah diramal berikutan persembahan yang penuh konsisten setiap minggu, begitu juga pada malam final.

Mendendangkan lagu berjudul Jangan Kau Rayu nyanyian asal Rahim Maarof, Semangat Lamina (Lefthanded) dan Kalau Aku Kaya (Awi Rafael feat. Altimet) pada segmen Battle bersama Rahmat Mega, vokal emas Ayai atau nama sebenarnya, Zahruddin Kamaruddin, 53, cukup memuaskan hati pihak juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Mamat Khalid dan Datuk Rosyam Nor.

Bukan sahaja membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000, bahkan Ayai turut berpeluang merakam sebuah single terbaharu terbitan Astro. Peluang merakamkan single menjadi satu hadiah yang paling bermakna buat dirinya.




“Saya memang tidak sangka akan menang. Apabila dinobatkan sebagai juara, ia umpama mimpi jadi nyata kerana saya berpeluang merakam single baharu terbitan Astro.

“Sebenarnya itulah hadiah yang paling mahal untuk saya sebagai seorang penyanyi senior,” kata Ayai yang menyanyi di kelab malam sebagai mata pencariannya selepas tidak lagi aktif dengan kumpulannya, Illusi.

Luahnya, bagai orang mengantuk disorong bantal, selepas bergelar juara program Gegar Vaganza yang disiarkan di Astro Ria, dia sudah bersedia untuk membuat kemunculan semula dalam industri muzik serta bersaing dengan penyanyi yang lebih muda daripadanya.

Sebelum ini, dia pernah menghasilkan sebuah lagu single berjudul Berbalas Balas pada tahun 2012, namun tidak mendapat perhatian khalayak.

“Single berjudul Berbalas Balas itu hanya diputarkan di radio di selatan tanah air sahaja, itu pun sebab atas ihsan rakan-rakan. Bukan saya tidak cuba untuk buat kemunculan semula tetapi tidak tahu di mana silapnya, lagu itu tidak diputarkan di radio popular dan tidak mendapat perhatian ramai.

“Walaupun kecewa tetapi saya berpuas hati kerana telah berusaha untuk memenuhi impian sebagai penyanyi. Alhamdulilah dengan kemenangan ini, peluang merakam lagu itu datang sekali lagi. Saya harapkan kali ini kehadiran saya diterima peminat.



TIGA pemenang utama Gegar Vaganza, (dari kiri) Mamat Exist, Ayai Illusi dan Haleeda.

“Jujurnya, saya bukan mahu popular tetapi cukup sekadar untuk memeriahkan industri muzik bersama-sama dengan penyanyi baharu, itu sahaja,” balas Ayai yang mengidam untuk berduet dengan penyanyi generasi baharu seperti Awi Rafael, Altimet, Hazama dan kumpulan Six Sense.

Cerita Ayai, awalnya dia ditawarkan tempat dalam program Gegar Vaganza untuk menggantikan tempat seorang peserta program yang menarik diri pada saat-saat akhir. Sangkaannya hanyalah persembahan untuk satu malam sahaja tetapi apabila tiba di studio rakaman dia mendapat tahu bahawa program berkenaan adalah sebuah pertandingan nyanyian.

“Saya dihubungi kru Astro pada pukul 6.30 petang untuk persembahan pada keesokan harinya. Kata mereka, ada artis tarik diri. Disebabkan pihak Astro selalu menjemput saya ketika program Kilauan Emas, saya tidak tolak tawaran itu walaupun saya tidak tahu bahawa saya akan menyertai sebuah pertandingan nyanyian.

“Apabila tiba di studio rakaman, barulah saya tahu ia sebuah pertandingan selepas melihat Shima dan Haleeda pun turut serta. Kiranya sudah rezeki, saya tidak pernah merancang untuk masuk program ini, tidak pernah jangka akan menang tetapi malam ini (Ahad), saya bergelar juara,” kata Ayai yang merupakan bapa kepada tiga orang anak.

Haleeda, Mamat pasrah

Penyanyi wanita, Haleeda yang dahulunya cukup popular dengan lagu Setia Kasih pula dilihat antara peserta kegemaran ramai. Masakan tidak, setiap kali muncul di atas pentas, penyanyi yang memiliki vokal hebat itu sentiasa mendapat sorakan daripada penonton.

Bagaimanapun, Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin, 41, harus pasrah dengan kedudukan di tangga kedua. Menyanyikan lagu Mendua (Astrid), Pelesit Kota (Wings) dan Fanatik (KRU) ketika segmen Battle bersama Ifa Raziah, Haleeda memberi persembahan yang cukup konsisten.

Tidak perlu sebarang gimik atau aksesori tambahan, berbekalkan hanya dengan vokalnya, Haleeda telah memukau penonton. Ramai yang terkejut apabila Haleeda yang selama ini popular menerusi lagu-lagu balada, secara tiba-tiba bertukar imej serta genre lagu ke arah muzik rock.



KEMENANGAN Ayai membolehkannya merakamkan sebuah lagu baharu terbitan pihak Astro.

“Kalau ikutkan, sejak saya mula menyanyi, memang jiwa saya ke arah muzik rock tetapi peluang yang hadir ketika itu ialah muzik balada. Kebetulan lagu balada itu popular, jadi orang sangka saya hanya boleh bawa lagu balada sahaja.

“Untuk program televisyen, tentu orang inginkan kelainan, jadi saya cabar diri untuk membawa imej dan lagu yang berbeza berbanding daripada Haleeda yang dahulu.

“Alhamdulillah, percaturan itu menjadi. Walaupun berhijab, nampaknya kehadiran saya diterima ramai. Saya harap mahu rakam lagu baharu dan kembali aktif dalam industri muzik,” ujarnya yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 dan trofi.

Tempat ketiga dan persembahan terbaik pula diraih oleh penyanyi Mamat Exist atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Kamarudin, 36. Menyanyikan lagunya sendiri iaitu Salju Di Danau Rindu dan Janji Padamu serta sebuah lagu rap berjudul Havoc pada segmen Battle bersama Fazli Zainal, juri Mamat Khalid menyifatkan persembahan Mamat cukup sempurna, tiada sebarang kesilapan yang dapat dikesan.

Walaupun begitu, Khadijah Ibrahim pula mempersoalkan mengapa penyanyi lain yang berani untuk menyanyikan lagu orang lain pada peringkat akhir dan sedangkan Mamat masih terikat dengan lagu pada zaman popularitinya. Sebagai juri, beliau mahu melihat Mamat bergerak ke hadapan, bukannya tersekat di masa silam.

Menjawab komen itu, Mamat memberitahu, lagu tersebut dipilih olehnya sendiri atas persetujuan pihak Astro.

“Apabila ditanya untuk lagu final, dua lagu itulah yang berlegar dalam fikiran saya. Bukannya saya takut untuk maju ke hadapan tetapi saya ingin mengimbas semula zaman kegemilangan pada pentas final Gegar Vaganza. Menang kalah adat pertandingan, saya bersyukur kerana terlibat dalam program ini.

“Saya ingat orang sudah lupakan Mamat tetapi sangkaan saya meleset. Sokongan yang saya terima daripada peminat membuatkan saya cukup terharu. Selain dapat rakan dan peminat baharu, pertandingan ini memberi pengalaman yang cukup berharga untuk saya,” tutur Mamat yang membawa pulang wang tunai RM20,000 berserta trofi.



HALEEDA merupakan antara peserta kegemaran ramai dalam Gegar Vaganza.

Persembahan penuh gimik

Tiga lagi penyanyi iaitu Rahmat Mega di tempat keempat, Ifa Raziah (kelima) dan Fazli Zainal yang (keenam) pula dilihat telah memberi persembahan yang terbaik. Kesemua mereka penghibur yang hebat, namun tuah tidak menyebelahi mereka.

“Saya sudah cuba buat yang terbaik tetapi waktu final, juri mencari kesilapan. Jika ingin dinilai dari segi vokal, semua peserta final merupakan penyanyi dengan vokal yang hebat. Sebab itu, kesilapan yang kecil membawa perubahan yang besar terhadap markah yang 100 peratus dinilai oleh juri,” kata Rahmat.

Berada di tangga keenam, Fazli Zainal pula enggan memikirkan soal kecewa. Baginya, menyertai program Gegar Vaganza sudah memberi sinar baharu dalam kerjaya nyanyiannya apabila meraih publisiti secara meluas.

“Saya hadir ke Astro untuk menghantar single terbaharu di radio. Secara kebetulan, ada kru Astro yang memberikan tawaran kepada saya untuk turut serta. Saya sudah cuba sehabis baik tetapi mungkin bukan rezeki. Saya berharap selepas ini peminat akan terus memberikan sokongan terhadap kerjaya saya,” kata Fazli.

Penyanyi Ifa Raziah yang dimasukkan ke hospital sebelum malam final akibat masalah paru-paru juga dilihat bersungguh-sungguh untuk menjadi juara. Layak dipuji untuk usaha keras itu, namun persembahan Ifa telah ditegur oleh juri Rosyam Nor. Adegan berpelukan dengan pelakon Hisham Hamid dianggap keterlaluan untuk sebuah program yang ditonton pelbagai lapisan usia.

Selain itu, Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad Ramli menerima soalan bertalu-talu daripada pihak media hasil daripada gimik lamaran mengejut pelakon muda, Hairul Azreen kepada Hanis Zalikha yang dilakukan pihak Astro.

Benar gimik itu perlu untuk sesebuah program realiti bagi meningkatkan rating tetapi gimik lamaran itu dianggap keterlaluan dan tidak kena pada tempat dan masanya. Rasanya banyak lagi program Astro yang lebih sesuai untuk gimik lamaran tersebut tetapi tidak tahu mengapa pihak produksi memilih untuk mencuri perhatian dalam pentas final Gegar Vaganza.

Jawapan yang diberikan Raqim: “Walaupun terdapat pelbagai komen yang diberi oleh penonton tetapi saya berasa gimik lamaran Hairul adalah sesuai.

“Program yang telah dirancang bukanlah satu kesilapan tetapi ia suatu percubaan baharu yang dilihat bersifat eksklusif,” katanya yang terbuka dengan kritikan orang ramai untuk memperbaiki setiap kelemahan program terbitan Astro pada masa depan.



Previous Post Next Post