SELAIN berlakon, Fouziah kini aktif mengusahakan perniagaan produk sarang burung walit.
Penama Fouziah Gous barangkali kini jarang dilihat di kaca televisyen, namanya juga jarang diperkatakan di dada akhbar, terutamanya melibatkan hal kontroversi. Bagaikan sudah selesa dengan kedudukannya sebagai seorang isteri, Fouziah dilihat terus larut dalam kehidupan dan komitmennya terhadap keluarga dan perniagaan.
Bagaimanapun, baru-baru ini Fouziah menjadi bualan ramai peminat industri hiburan tempatan apabila dipilih mengacarakan program kewanitaan popular tanah air, Nona. Dia dipilih menggantikan pengacara sebelum itu, Neelofa dan Fara Fauzana.
Mengakui agak gementar untuk mengacara program yang sudah berusia 30 tahun itu, Fouziah berkongsi cerita di sebalik penerimaannya untuk menjadi hos program berkenaan, apatah lagi secara solo untuk musim 2015.
Berpeluang menemu bual tuan empunya badan, Kosmo! berbicara lebih lanjut mengenai tawaran besar tersebut serta kehidupannya kini.
Artis Meletop!: Tahniah Fouziah kerana telah terpilih sebagai pengacara program wanita terkemuka, Nona musim baharu. Bolehkah anda ulas sedikit mengenai tawaran tersebut?
FOuziah Gous: Pada mulanya, saya menerima tawaran ini pada bulan Disember tahun lalu, dua hari sebelum hari ulang tahun saya yang ke-32 tahun iaitu 11 Disember 2014. Saya tidak pernah menyangka akan dilamar menjadi hos Nona kerana saya bukanlah seorang yang arif mengenai bidang pengacaraan. Bagaimanapun, setelah berfikir dengan lebih mendalam mengenai hal ini, saya bersetuju memandangkan jadual penggambarannya yang fleksibel. Sekurang-kurangnya saya boleh bahagikan masa saya bersama keluarga. Saya juga telah menandatangani perjanjian selama satu tahun bersama Nona.
Bagaimanakah anda menyambut cabaran ini?
Saya memang terkejut dengan tawaran ini kerana sebelum ini saya hanya dipanggil untuk menjadi pe-
ngacara jemputan sahaja dalam mana-mana program televisyen termasuk Primadona di Astro Ria (saluran 104), namun saya tidak pernah menganggap perkara ini serius. Bagaimanapun, selepas ditawarkan menjadi hos Nona, saya ambil ia sebagai suatu cabaran baharu dan penanda aras dalam karier saya. Saya juga berasa sangat bahagia kerana tawaran ini bagaikan hadiah ulang tahun saya yang ke-32 tahun, 11 Disember lalu.
Program Nona merupakan salah satu program perdana yang menjadi tumpuan seluruh penonton di Malaysia. Adakah anda bersedia untuk memikul tanggungjawab mengacarakan program tersebut?
Insya-Allah saya akan melakukan tugas itu dengan sebaik mungkin. Saya berharap dengan tunjuk ajar daripada pengacara yang lebih berpengalaman seperti Ezzah Aziz Fawzy dapat menjadi panduan kepada saya. Dia juga banyak membantu saya dalam memberi keyakinan kepada saya dalam bidang pengacaraan.
Namun demikian, apa yang membuatkan hati saya gemuruh ialah program tersebut kini genap 30 tahun penyiaran iaitu bersamaan dengan ulang tahun televisyen penyiarannya. Saya berharap saya mampu untuk melakukan yang terbaik sesuai dengan kehendak penonton.
MULA meneraju Nona bermula awal tahun ini, Fouziah berharap dia dapat melakukan yang terbaik buat program kewanitaan yang sudah berusia 30 tahun itu.
Kini bergiat aktif dalam bidang pengacaraan, adakah anda berniat untuk meninggalkan bidang lakonan?
Tidak, saya tidak pernah berniat langsung untuk meninggalkan bidang lakonan. Cuma, setelah berkahwin, saya mempunyai masa yang sangat terhad dalam pelbagai perkara terutamanya dalam bidang lakonan. Saya tetap berlakon, namun tidaklah seaktif dahulu.
Adakah suami anda melarang untuk anda berlakon?
Suami saya tidak pernah melarang saya berlakon, namun saya sendiri perlu sedar bahawa sebagai seorang isteri, saya perlu menjaga batas saya. Lagipun, saya kini aktif dalam perniagaan sarang burung walit saya yang dikenali sebagai FG Walit.
Boleh anda ceritakan sedikit mengenai perkembangan perniagaan anda?
Alhamdulillah, sejak produk sarang walit tersebut pertama kali dilancarkan pada pertengahan tahun lalu, ia semakin mendapat sambutan yang sangat menggalakkan walaupun ia hanya dilakukan secara dalam talian sahaja. Produk tersebut sememangnya mempunyai potensi yang tinggi untuk dipasarkan di seluruh Malaysia. Produk tersebut dibungkus dan dipasarkan oleh saya sendiri. Saya juga mempunyai bangunan pengumpulan sarang burung walit sendiri di Batu Pahat, Johor. Besar harapan saya agar dapat mengembangkan lagi perniagaan saya pada tahun ini ke peringkat lebih tinggi.