Noorkhiriah di hadapan butiknya.
SELEPAS hampir setahun berniaga secara kecil-kecilan melalui penyertaan di beberapa gerai jualan dan festival serta di Instagram miliknya, khiriah17, kini Noorkhiriah Ahmad Shapie mampu tersenyum lebar melihat hasil tuaian penat lelahnya selama ini.
Dunia perniagaan yang diceburi pelakon berbakat besar itu, semakin berkembang selari dengan pembukaan mini butiknya menerusi jenama Nur by Khiriah di Tesco Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Mula beroperasi sejak 1 Februari lalu, pelakon berusia 39 tahun ini, menyifatkan pembukaan mini butiknya itu umpama mimpi menjadi kenyataan apatah lagi apabila ia berlaku pada awal tahun baharu 2015.
"Saya tak sangka ia akan menjadi kenyataan apatah lagi apabila saya berniaga hanyalah kerana suka-suka.
"Semuanya bermula apabila saya 'gatal tangan' memuat naik gambar dua helai tudung di laman sosial dan bertanya sekiranya ada yang berminat dengan tudung tersebut.
"Reaksi paling awal yang saya dapat adalah daripada seorang pembeli dari United Kingdom (UK)," katanya kepada Zass ketika menemuinya di mini butiknya itu, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon drama bersiri Yes Boss! itu memberitahu, kesempatannya menunaikan umrah digunakan sebaik-baiknya bagi meminta petunjuk dari ALLAH SWT.
"Saya berdoa pada-Nya, agar ALLAH SWT membukakan pintu rezeki yang lain kepada saya selain daripada berlakon.
"Selepas tiga bulan, saya pulang dari mengerjakan umrah, tiba-tiba saya tergerak hati hendak memulakan bisnes ini dan Alhamdulillah apabila ia menunjukkan perkembangan yang positif.
"Tambahan pula, saya mendapat dorongan dan sokongan penuh dari keluarga terutama suami dan rakan-rakan artis seperti Azza Elite dan Yatt Hamzah," kata isteri kepada Azfaidzul Antan ini.
Selesa menguruskan perniagaannya sendiri, teraju utama drama bersiri Kerana Cintaku Saerah ini memberitahu, mini butiknya itu menawarkan pelbagai jenis tudung, pakaian dan jubah wanita, selain barangan kelengkapan ibadah umrah dan Haji.
"Saya rasa puas apabila menguruskan sendiri perniagaan ini.
"Saya dan suami sama-sama berganding bahu mereka pakaian sendiri.
"Pada peringkat awal ini, ia terhad kepada hanya 100 koleksi tetapi akan bertambah mengikut permintaan," katanya.
Pilih tawaran?
Biarpun kini Noorkhiriah seakan-akan menyepi dalam karier lakonannya, hakikatnya Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) menerusi drama Antara Garisan ini masih lagi aktif.
Berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang seni, ibu kepada dua anak lelaki ini mengakui, dia kini bersikap agak memilih perihal watak dan soal bayaran.
"Jika watak dilakonkan sesuai dan bayaran daripada produksi juga menarik, saya sedia terima kerana sudah tiba masa untuk berbuat demikian.
"Saya tidak boleh menerima tawaran sembarangan tanpa mengambil kira kesesuaian watak dan bayaran yang diterima ekoran minat yang mendalam terhadap lakonan serta enggan lagi terikat dengan watak biasa yang pernah saya lakonkan sebelum ini," katanya.
Terbaharu, bintang filem Papadom ini bakal berkongsi pengalamannya dalam dunia seni lakon di festival drama terbesar anjuran TV3 dan TV9 iaitu Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL2015) yang dijangka berlangsung pada Mac ini.
"Saya berpeluang menjadi tenaga pengajar menerusi bengkel yang dilakukan di samping pelakon dan penerbit, Sheila Rusly dan Remy Ishak.
"Alhamdulillah, ini adalah penghargaan besar buat diri saya.
"Saya bagaikan tak percaya apabila ditawarkan oleh produksi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Noorkhiriah baharu saja tamat menjalani penggambaran filem indie arahan M.Subash, Iblis Bertopeng dan drama bersiri, Qaseh Tanpa Suara.