Liwat: Keluarga Bimbang Anwar Dipenjarakan



Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui ahli keluarganya kini bimbang sementara menanti keputusan rayuan terakhir kes liwatnya terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan yang akan diketahui pada Selasa depan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, selain isteri dan anak, cucunya turut bertanyakan mengenai penjara semasa perbincangan bersama isteri (Wan Azizah) dan Nurul Izzah mengenai sebarang kemungkinan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan nanti.

"Saya bincang bersama Azizah, Izzah dan cucu-cucu saya (mengenai sebarang kemungkinan). Anak-anak Izah bertanya kepada saya pada tempoh hari, atuk mengapa mereka bercakap mengenai penjara?

"Saya beritahu 'ada orang jahat hantar atuk anda ke penjara," katanya pada sidang media selepas merasmikan peluncuran buku Dr Syed Husin Ali 'Hubungan Etnik Di Malaysia', di sini Khamis.




Bagaimanapun, Anwar berkata sekiranya beliau dipenjarakan, ia sesuatu yang sukar buat dirinya lebih-lebih lagi pada usia yang mencecah hampir 70 tahun dan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan.

"Saya pernah dipenjara masa umur 20-an, masih muda. Walaupun ditahan dibawah ISA kemudian keluar naik jadi TPM. Selepas itu saya dipenjara enam tahun, lebih susah kerana ketika itu saya sudah menjangkau usia 50-an. Enam tahun itu tempoh yang sangat lama... setiap minit itu... sehari rasa sebulan ketika itu.

“Sekarang usia saya menjangkau ke arah 70 tahun, tentunya lebih sukar. Kesihatan tidak seperti dahulu... fizikal juga sudah tidak seperti dulu. Tiada siapa mahu ke arah itu (dipenjarakan)," katanya.

Namun, Anwar memberitahu, memandangkan pernah melalui pengalaman dipenjarakan sebelum ini, beliau sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan dan komited terhadap agenda yang diperjuangkan.

"Bagaimana sakit, berapa banyak pengorbanan, saya kena tahan dan kena kuat," katanya.

Ditanya mengenai perasaan Wan Azizah dalam menghadapi tekanan menjelang keputusan Selasa depan, Anwar berkata isterinya sedikit tergangggu dan bimbang dengan keadaan kesihatannya.

"Tidak mudah walaupun Azizah itu kuat. Dia terima (reda) tapi bimbang kerana tahu keadaan fizikal, kesihatan saya.

"Oleh sebab dia yang menjaga makan minum, pakaian, ubat, kesihatan saya, dia lebih sedikit terganggu tapi umumnya dia tahu tentang keputusan saya dan risikonya," kata Anwar.

Buat masa ini, Anwar berkata beliau akan terus mendoakan yang terbaik walaupun menyedari realitinya mungkin berbeza dengan apa yang diharapkan.

Anwar turut menegaskan beliau dan keluarga sudah memutuskan karier politiknya akan diteruskan selepas dibebaskan daripada tuduhan liwat pada 2004.



Previous Post Next Post