Tak muncul dalam program, Sherry Alhadad positif COVID-19

Ketiadaan kelibat Sherry Alhadad mengendalikan program realiti, Big Stage musim keempat terjawab apabila pengacara popular itu mengesahkannya positif COVID-19.

Sherry atau nama sebenar, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 37, berkongsi berita duka itu menerusi akaun Instagram (IG), tengah malam tadi.

Menerusi perkongsiannya itu, pemenang trofi Artis Komedi Popular dan Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu memuat naik foto kit ujian saringan kendiri yang menunjukkan dua garisan merah menandakan dirinya positif COVID-19.

"Terima kasih atas doa kalian semua. Semoga semuanya dipermudahkan dan kita semua sentiasa di bawah lindungan Allah SWT.

"Insya-Allah, kita jumpa minggu depan," tulis Sherry dalam ruangan kapsyen.

Menerusi hantaran itu juga memaparkan ucapan terima kasih pengacara program The Sherry Show itu kepada rakan selebriti, Elly Mazlein yang menjadi bidan terjun menggantikan tempatnya.

"Terima kasih kakakku sayang, Elly Mazlein. Saya sayang awak. Kalian berdua sangat hebat," ujarnya.

Sementara itu, ramai rakan selebriti dan peminat Sherry mendoakan agar pelakon filem Saka Nan Sepi dan Bikin Filem itu segera sembuh.

Antara yang menzahirkan simpati termasuklah Alif Satar, Anuar Zain, Yusuf Bahrin, Zulin Aziz, Scha Alyahya, Nabila Huda dan ramai lagi.

 

Previous Post Next Post