Han Byul tak nak nyawa berisiko

Han suka duduk bersendirian bagi mencari ilham menghasilkan karya.

Juara program realiti, Big Stage musim kedua, Han Byul tidak berdepan tekanan ketika penularan pandemik COVID-19 berikutan sudah biasa berkurung dalam rumah sejak dua tahun lalu.

Situasi pandemik menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam usaha mengekang penularan pandemik.

Penyanyi kelahiran Korea Selatan itu berkata, dia lebih selesa duduk di rumah sekiranya tiada urusan kerja di luar. Malah, gemar memasak berbanding membuat tempahan makanan.

"Saya jenis suka memasak berbanding membuat tempahan makanan.

"Saya memasak menu kegemaran seperti Nasi Goreng Korea, 'Soondooboo Jjigae' dan makanan sihat seperti salad ayam, sandwich bersama ayam atau Avocado.

"Saya rasa lebih nikmat memasak sendiri. Masak pun untuk seorang makan sahaja, jadi boleh berjimat," katanya.

Baru sahaja dilantik sebagai duta Power Root Berhad, Per'l Yuzu, Han berkata, dia juga bebas melakukan apa sahaja apabila berada di rumah.

"Tiada tekanan atau kawalan sesiapa. Selalunya jika bersendirian imaginasi dan ilham menghasilkan karya akan cepat datang tanpa diduga. Jadi, masa bersendirian itulah saya zahirkan kreativiti menulis lagu baharu.

"Selain itu, saya akan memastikan kesihatan dan stamina terus dijaga. Saya bersenam di pusat gimnasium disediakan di kawasan rumah.

"Dan paling penting, saya belajar bahasa Malaysia. Sebelum PKP dan PPN dilaksanakan, saya sudah terlebih dahulu mempraktikkan kehidupan seperti ini.

"Jadi, saya memang tiada masalah jika berkurung dalam rumah. Saya hanya akan keluar jika ada kerja perlu dilunaskan, namun, berjaga-jaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," kata artis di bawah naungan syarikat pengurusan, Laugh Out Loud Entertainment.

Baru sahaja dilantik sebagai duta Power Root Berhad, Per’l Yuzu, Han lebih selesa duduk di rumah sekiranya tiada urusan kerja di luar. - Foto IG Han Byul
Baru sahaja dilantik sebagai duta Power Root Berhad, Per’l Yuzu, Han lebih selesa duduk di rumah sekiranya tiada urusan kerja di luar. - Foto IG Han Byul
Penyanyi lagu Luka Dan Bahagia itu berkata, Malaysia sudah menjadi rumah keduanya.

"Saya sempat pulang ke Gangnam, Seoul, tahun lalu. Namun, saya kembali setahun kemudian pada Mac, tahun lalu.

"Sekarang, saya sedang melunaskan penggambaran drama bersiri, Oppa Cuba Puasa arahan Fairuz Loy.

"Saya bergandingan dengan Sweet Qismina. Di lokasi penggambaran saya akan jaga SOP dan keselamatan diri kerana kes harian semakin meningkat saat ini.

"Saya pula tinggal seorang diri, jadi saya tidak mahu meletakkan nyawa dalam risiko," katanya.

Mengulas tawaran produk pertama yang diterima, Han atau nama sebenarnya, Jang Han Byul berkata, ia produk berasaskan kacip Fatimah, menggabungkan pemakanan Korea dan herba tradisional Melayu.

"Khasiat buah Yuzu sendiri saya gemari sejak sedekad lalu," katanya yang turut mempromosikan single baharu berjudul Pesona Kamu ciptaannya sepenuhnya.

Previous Post Next Post