BAGI Aiman, kisah peribadinya tidak perlu diperbesarkan bagi menjaga hati banyak pihak.
SEJAK pelakon Fathia Latiff mengeluarkan kenyataan yang mengatakan hubungan cintanya dengan pelakon Aiman Hakim Ridza sudah berakhir, tiada lagi sebarang respons yang dikeluarkan lelaki itu.
Aktor yang popular menerusi drama Vanila Coklat itu lebih selesa untuk mendiamkan diri, biarpun masih ramai yang tertanya-tanya status hubungan sebenar mereka. Apatah lagi apabila ada cakap-cakap yang mendakwa kasih mereka sudah tersimpul kembali. Sudah pasti orang ramai khususnya peminat Aiman yang inginkan jawapan daripada mulut mereka sendiri.
Buat pertama kali selepas kisah mereka hangat diperkatakan sejak tiga minggu lalu, Aiman yang hadir ketika majlis sidang media pelancaran drama Sesal Separuh Nyawa di sebuah restoran di Kampung Pandan, Kuala Lumpur menjadi tumpuan media.
Ramai yang tertunggu-tunggu jawapan daripadanya. Sayangnya, Aiman masih dengan pendirian untuk tidak berkata apa-apa mengenai apa yang sudah berlaku terhadap hubungannya dengan aktres berusia 27 tahun itu.
“Maaf, saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Saya ke sini untuk menghadiri sidang media drama lakonan saya sahaja dan hanya akan berkongsi mengenainya sahaja.
“Soalan lain daripada ini (berkaitan drama) saya tidak mahu ulas apa-apa,” pintanya sebaik diajukan soalan daripada pihak media.
Jelas Aiman lagi, dia enggan membuka mulut untuk bercakap mengenai soal hubungannya dengan Fathia kerana merasakan ia sesuatu yang dianggap peribadi.
Katanya, dia perlu menjaga hati dan kepentingan banyak pihak sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
“Saya harap anda semua boleh hormati keputusan saya untuk tidak bercakap mengenainya lagi.
“Ini merupakan kehidupan peribadi saya. Saya harap anda semua boleh faham. Untuk bercakap banyak (mengenai hal peribadi) pun tak begitu baik. Ada banyak perkara yang perlu diambil kira, dia ada keluarga begitu juga dengan saya,” pinta pelakon berusia 29 tahun itu yang menjalin hubungan cinta selama empat tahun bersama Fathia.
Ditanya mengenai keadaan kehidupannya kini, kata Aiman, dia seperti insan lain yang melalui rutin sama setiap hari. Cuma, katanya, sudah pasti dia mahukan yang terbaik dari hari ke hari.
“Setiap hari kita memang perlukan pembaharuan. Saya harap jadi orang yang lebih baik. Bahkan, untuk tahun ini, fokus saya lebih kepada kerjaya sahaja.
“Lagipun, saya juga akan mengendalikan studio jamming saya berkonsepkan kafe, Xtudio yang akan dibuka dalam masa terdekat,” katanya yang memberitahu studio itu terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Sementara itu, bercakap mengenai drama terbaharunya berjudul Sesal Separuh Nyawa itu, kata Ayman ia merupakan pengalaman pertamanya bergandingan bersama Ayda Jebat sebagai peneraju utama.
“Kami pernah bekerja satu produksi sebelum ini, cuma belum pernah bergandingan untuk watak utama bersama-sama.
“Apapun, kami sudah berikan yang terbaik,” katanya yang turut menjalani penggambaran selama dua minggu di Amsterdam, Belanda.