LUFYA kini sibuk dengan perniagaan tudungnya yang diberi nama Luffy Luffy Scarves.
ApaBila berkaitan soal kerjaya, jasad tidak mampu menolak sedangkan hati berasakan ia salah. Memikirkan kelangsungan hidup sahaja sudah cukup menjadi penghalang buat bibir melafazkan perkataan ‘tidak’.
Begitulah dilema yang berlaku kepada sesetengah pelakon yang sudah berhijab tatkala menerima tawaran watak tidak bertudung.
Hakikat serupa terpaksa ditelan pelakon Lutfyah Sheikh Omar atau lebih dikenali sebagai Lufya.
Namun, dia percaya hidupnya boleh diubah dengan prinsip, doa dan usaha. Getir hari ini juga dianggapnya sebagai peringatan Tuhan agar dirinya tidak dibuai leka. Dia juga bukan wanita yang lemah dan mudah berserah dengan nasib.
“Saya sedih apabila seorang pelakon yang tidak bertudung diberikan watak bertudung, sebaliknya pelakon yang sudah bertudung seperti saya diberikan pula watak wanita tidak bertudung. Kenapa perkara macam ini boleh berlaku?
“Saya akui, banyak kali terima tawaran watak tidak bertudung dengan produksi Melayu. Lebih menyedihkan mereka meminta saya buka tudung untuk menjayakan watak. Bukan satu tawaran sebegitu saya terima, tetapi sudah banyak kali. Alhamdulillah, saya tetap dengan pendirian. Biar tiada tawaran sekalipun asalkan tidak menerima tawaran sebegitu,” luahnya tanpa dapat ditahan-tahan.
Kelas mengaji
Bagi Lufya, dia tidak mahu jadi orang hipokrit terhadap Allah. Manusia nak cakap apa terpulang. Cuma janjinya pada Allah tidak harus dimungkiri. Kerana apa, dia berubah mengikut syariat Allah.
Lufya matikan keluhan, kembangkan syukur dan percaya hidupnya akan lebih bahagia daripada sebelumnya.
“Alhamdulillah, ada juga beberapa drama yang saya jayakan sejak bertudung tetapi tidak banyak. Saya masih menanti tawaran berlakon buat masa ini dan berharap diberikan watak mencabar walaupun bertudung. Saya tidak kisah sangat dari segi bayaran,” ujarnya yang pernah menjayakan drama Bila Hati Telah Hitam dan Di Bawah LangitMu Aku Berselawat.
Selain lakonan, ada dua perkara yang menjadi kompas penunjuk langkahnya dalam meniti kehidupan sehari-hari. Ia merupakan bisnes tudung miliknya iaitu Luffy Luffy Scarves dan juga kelas mengaji al-Quran yang diusahakannya bersama kawan-kawan dan pengikut-pengikut di laman Instagramnya @lufyaluvya.
“Cita-cita saya untuk menganjurkan kelas mengaji akhirnya tercapai pada minggu lalu. Alhamdulillah saya gembira sangat dengan kehadiran rakan-rakan dan pengikut-pengikut Instagram. Terima kasih buat Salima Habibi yang sanggup meluangkan masa mengajar saya dan rakan-rakan mengaji al-Quran. Kami belajar dari asas iaitu sifat huruf, makhraj dan tajwid,” kongsinya yang turut mengajak rakan-rakan Instagramnya yang berminat untuk turut serta dalam kelas yang tidak dikenakan bayaran itu.
Bukan niatnya untuk menunjuk-nunjuk, jauh sekali riak pada khalayak bahawa dirinya alim. Ironinya, pelakon berusia 31 tahun itu mahu memberikan pendedahan betapa pentingnya belajar al-Quran.
“Saya buat kelas mengaji bukan mahu menunjukkan kebaikan tetapi sekadar untuk mewujudkan budaya mempelajari al-Quran dan membuat amalan jariah untuk bekalan akhirat nanti,” getusnya yang akan mengadakan kelas mengaji sekurang-kurangnya dua kali seminggu bergantung pada kelapangan pengajarnya.
Untung tipis
Menyentuh mengenai bisnes tudungnya iaitu Luffy Luffy Scarves pula, kata Lufya, biarpun banyak persaingan, namun bisnes tersebut banyak permintaannya.
Niatnya untuk berniaga juga sudah lama tertanam dalam hatinya. Cuma, masa dan keadaan menjadi sebab kenapa ia direalisasikan pada saat ini.
“Sejak merancang untuk melakukan bisnes tudung kira-kira enam bulan lalu, selain menambah pendapatan, saya mahu mencari saham akhirat.
“Jika niat kita betul iaitu untuk merancakkan bisnes tudung dan menggalakkan ramai lagi wanita Melayu memakai tudung, insya-Allah kita boleh berjaya. Berjaya dari segi bisnes dan juga dakwah,” ujarnya yang turut menyatakan tudung-tudung miliknya boleh dibeli menerusi Instagram
@luffyluffyscarves dan laman web seperti lazada dan cottonandsilk.com.
Satu perkara yang menarik mengenai tudung Lufya adalah harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Baginya, biar keuntungan yang diperoleh sedikit asalkan orang suka dan gembira apabila memakainya.
Lufya juga mengaku, dia banyak menerima e-mel dan mesej daripada wanita yang menyukai tudung rekaan dan harga yang ditawarkan.
“Ada juga yang meminta khidmat nasihat daripada saya bagaimana mahu berubah (memakai tudung). Saya gembira dengan maklum balas positif seperti itu,” lenturnya seraya menguntum senyuman.
Mahu perbetulkan diri
Pernah menghasilkan lagu berentak kerohanian berjudul Doaku yang menjadi lagu tema drama Ramadan Jangan Pergi, Lufya optimis dengan masa depannya dalam bidang nyanyian.
Tiada sebarang perancangan untuk menyanyi, namun andai digerakkan hati dan diberi lagu-lagu kerohanian, bekas pelajar program realiti Akademi Fantasia musim keenam itu berlapang dada menerimanya.
“Setakat ini, tiada perancangan untuk kembali menyanyi. Kalau digerakkan hati untuk menyanyi semula, saya akan tengok liriknya dulu. Tidak mahu sebarang lirik yang membuai perasaan seperti cinta mati. Sebaliknya, jika diberikan lagu-lagu berkonsepkan kerohanian, itu lebih baik,” pintanya.
Sebelum ini, nama Lufya juga pernah dikaitkan dengan seorang kenamaan yang meninggal dunia baru-baru ini apabila gambarnya dengan arwah tersebar di laman sosial.
Bagaimanapun, menurut Lufya perkara itu sekadar khabar angin dan hatinya belum terbuka untuk sesiapa.
“Apabila ada gambar tersebar ramai yang buat andaian kami mempunyai hubungan, hakikatnya ia hanyalah khabar angin.
“Hati saya belum terbuka untuk bercinta sebab saya masih dalam proses memperbetulkan diri saya untuk jadi wanita lebih baik. Kalau saya mahukan pasangan yang baik, saya kena jadi baik dulu,” jelasnya seraya menutup perbualan.