ZEHRA ZAMBRI - mengaku bertunang dengan lelaki berusia 41 tahun, bagaimanapun hubungan itu terputus di tengah jalan, sekaligus membuatkan dia terpaksa melupakan rancangan perkahwinan yang dijadualkan pada Januari lalu.
SERIBU satu persoalan muncul dalam fikiran tatkala nama Zehra Zambri diumumkan sebagai salah seorang finalis program realiti Ikon Siarawan 3 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.
Dia yang pernah menyertai pertandingan realiti Pencarian Gadis Melayu, dilihat tidak pernah jemu mencuba nasib biarpun namanya sudah dikenali ramai.
Namun, setelah sekian lama menyepi, Zehra atau nama lengkapnya Zehra Zamri, 29, kembali membuat kemunculan di layar televisyen. Kata Zehra penyertaannya kali ini kerana ingin menutup cerita duka yang berlaku semasa ‘kehilangannya.’
Artis Meletop!: Tahniah Zehra kerana terpilih untuk menjadi salah searang finalis Ikon Siarawan 3. Tetapi sebelum bercerita lanjut mengenai penyertaan itu, boleh kongsikan apa cerita duka yang dimaksudkan tadi?
Zehra: Sebenarnya cerita itu melibatkan soal hati dan perasaan saya. Mengikut perkiraan, sepatutnya saya melangsungkan perkahwinan pada 23 Januari lepas bersempena dengan ulang tahun perkahwinan ibu bapa saya, namun hajat tersebut tidak kesampaian. Hubungan saya bersama bekas tunang putus di tengah jalan.
Bila anda mengikat tali pertunangan? Boleh kongsikan mengapa majlis perkahwinan anda terpaksa dibatalkan?
Pertemuan dengan bekas tunang merupakan hasil daripada aturan keluarga. Kami sempat berkenalan selama tiga bulan sebelum keluarganya melamar saya dan kemudian bertunang pada 14 Jun tahun lalu. Selama tempoh dua bulan kami mengikat tali pertunangan, saya dapati tiada komunikasi antara kami memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Bukan tidak pernah mencuba untuk menyelamatkan hubungan kami, tetapi semakin hari keadaan menjadi bertambah teruk dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan tersebut. Dia berumur 41 tahun dan tidak dinafikan perbezaan jarak umur yang ketara antara kami membuatkan sukar untuk mencapai keserasian walaupun hakikatnya saya memang sukakan lelaki yang lebih matang.
Bagaimanakah perasaan anda selepas mengalami episod duka itu?
Selepas bertunang, saya akui cuba untuk menjadi lebih matang dan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Tetapi perkara sebaliknya pula berlaku, dan ia sangat memberi kesan kepada saya. Memang tidak dinafikan saya sangat sedih kerana sedikit sebanyak mula menyayangi dirinya dan dalam masa sama terpaksa menanggung perasaan malu memandangkan semua persiapan telah dilakukan. Saya mengambil masa selama sebulan untuk pulih daripada kekecewaan sebelum bangkit. Bagaimanapun saya tidak pernah menyalahkan keluarga mahupun sesiapa kerana saya yakin Allah telah mengaturkan perjalanan yang lebih indah buat saya, buktinya kini saya berada bersama Ikon Siarawan pula.
Baiklah, apakah perkembangan terkini anda?
Saya baru menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Sains Komunikasi Kepengurusan di Universiti Utara Malaysia pada Oktober tahun lalu. Alhamdulillah, dalam tempoh itu saya bukanlah menyepi terus dalam nyanyian. Saya masih mendapat undangan nyanyian tetapi kebanyakannya di kawasan Sarawak terutamanya bahagian pedalaman. Sekarang ini saya menyertai pertandingan Ikon Siarawan dan berharap peminat dapat mengingati semula kehadiran saya dalam industri ini.
Mengulas tentang penglibatan dalam Ikon Siarawan, anda sebenarnya sudah mempunyai nama yang dikenali cuma semakin dilupakan kerana sudah lama tidak muncul dengan single atau album baharu. Adakah anda tidak takut dikritik dan dianggap tidak laku sehingga terpaksa menyertai pertandingan ini?
Sebenarnya, perkara itu sudah pun terjadi ketika saya menyertai pertandingan Gadis Melayu terbitan pada tahun 2008. Orang ramai boleh berkata apa sahaja, tetapi saya mempunyai matlamat tersendiri, jadi tidak kisah dengan kritikan. Tujuan utama saya menyertai Ikon Siarawan adalah untuk mendapatkan ilmu selain mencari peluang kerjaya bersama RTM. Selain menyanyi, saya juga ingin mencari satu kerjaya yang tetap dan dapat menjamin masa depan, jadi dengan menyertai pertandingan ini, latihan yang diberikan akan mempersiapkan diri saya untuk masuk dalam bidang penyiaran bersama RTM.
Sebagai peserta yang paling senior dan boleh dianggap mempunyai pengalaman beraksi di hadapan kamera, sekiranya anda ditakdirkan kalah dalam pertandingan ini, adakah anda akan berasa malu?
Tidak dinafikan, persaingan dalam Ikon Siarawan agak sengit kerana semua peserta hadir dengan pelbagai latar belakang yang hebat. Tetapi sekiranya saya kalah, saya tidak akan malu kerana ini bukan pertandingan nyanyian. Ikon Siarawan adalah pertandingan dalam bidang penyiaran yang memang tersasar dari bidang nyanyian, jadi sekiranya kalah saya akan menganggapnya sebagai platform pencarian ilmu dan permulaan kepada kerjaya di RTM.
Tidak teringinkah untuk kembali menghidupkan irama tradisional yang semakin dilupakan kini?
Ya memang ada, komposer Pak Ngah juga pernah menghubungi saya untuk menghasilkan single baharu. Mungkin selepas tamat pertandingan Ikon Siarawan ini saya akan kembali dengan single baharu.