Dunia bola Bront, Luqman


KEDUA-dua pelakon ini percaya OlaBola dapat mengangkat semangat cintakan negara antara pelbagai kaum.

KEBIASAANNYA, penerbit filem tempatan akan menampilkan wajah-wajah pelakon yang sudah mempunyai nama untuk diketengahkan dalam satu-satu naskhah itu. Bagaimanapun, berbeza pula dengan pendekatan yang dapat dilihat menerusi filem baharu berjudul OlaBola.

Filem fiksyen arahan pengarah tersohor Chiu Keng Guan itu mempertaruhkan barisan pelakon baharu selaku teraju utama. Antaranya termasuklah pendatang baharu, Luqman Hafidz yang pertama kali mempertaruhkan bakatnya dalam filem tersebut.

Pada masa sama, percaturan sutradara filem pecah panggung, The Journey itu dilihat cukup unik apabila turut menggunakan bakat pelakon terkenal, Bront Palarae untuk sama-sama mewarnai filem itu.

Mengangkat kisah perit getir dan semangat barisan pemain bola sepak Malaysia yang pernah mencipta nama pada era 1980-an, filem OlaBola itu turut memaparkan kisah masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual Bront dan Luqman untuk berkongsi cerita mengenai filem tersebut yang bakal menemui penonton pada 28 Januari ini.


Boleh kongsikan serba sedikit mengenai watak kalian dalam filem OlaBola?

BRONT: Saya memegang watak sebagai Rahman iaitu seorang lelaki yang mempunyai minat untuk menjadi seorang pengulas sukan. Sejak itu, dia mula belajar cara dan teknik yang betul sebelum dia diberi kepercayaan untuk mengulas sukan secara langsung sewaktu perlawanan bola sepak yang menjadi penentuan untuk Malaysia ke Olimpik.

LUQMAN: Dalam filem ini, saya diberi peranan untuk memegang watak Ali. Dia ini merupakan seorang pemain bola sepak kebangsaan yang bermain di posisi penyerang. Ali juga mengimpikan untuk menyarung jersi nombor 10.

Apakah yang cuba diketengahkan kepada penonton dalam filem ini?

BRONT: Ia merupakan sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada cerita sebenar. Itu yang menariknya filem ini. Bukan sekadar cerita bola, tetapi apa yang cuba diterapkan termasuklah semangat patriotik itu sendiri.

LUQMAN: Bahkan, filem OlaBola ini juga mempamerkan konsep Malaysia itu sendiri yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Semangat setiakawan dan erti persahabatan yang cuba ditonjolkan menerusi sukan bola sepak itu yang menariknya mengenai filem ini.

Mungkin ada beberapa babak dalam filem itu yang kalian rasakan ia agak sukar untuk dilaksanakan. Boleh kongsikan?

BRONT: Ada satu babak di mana situasi itu menggambarkan suasana di tapak fun fair. Itu saya pun tak tahu kenapa sampai 15 kali ulang untuk jayakan babak di depan kereta sahaja. Tapi ada satu juga babak lain di mana nak wujudkan babak sayu dan sebak selepas mendengar pemain-pemain lain bercakap mengenai nasib mereka yang tidak dapat ke Olimpik.

LUQMAN: Babak ketika di dalam bilik persalinan pemain di stadium. Situasi tegang ketika saya dapat tahu yang Malaysia memboikot Olimpik pada masa itu. Ketika itu semangat untuk bermain sudah tidak ada. Babak untuk menangis itu sampai enam ke tujuh kali juga ulang rakam. Saya turut terbawa-bawa emosi itu di luar set penggambaran.

Sepanjang pembikinan filem itu, apakah momen yang tidak dapat dilupakan?

BRONT: Belajar cara bagaimana untuk menjadi seorang pengulas sukan. Ia nyata bukanlah sesuatu yang mudah, tapi beruntung dapat tunjuk ajar daripada bekas pengulas sukan terkenal, Abdullah Hashim.

LUQMAN: Saat pelakon-pelakon menjalani latihan bola sepak sebenar bersama-sama. Kemudian kami juga berpeluang bertemu dengan pemain legenda seperti Hassan Sani, Wong Kam Fook dan lain-lain lagi.

Filem ini banyak mempertaruhkan wajah-wajah baharu, sejauh mana anda melihat kemampuan filem ini untuk menarik penonton?

BRONT: Saya percaya dengan pilihan pengarah yang memilih barisan pelakon-pelakon baharu untuk diketengahkan. Bagi saya, mereka sudah memberikan yang terbaik. Bekerja dan berlatih hampir 12 jam setiap hari.

LUQMAN: Saya memang sangat baharu dalam industri ini. Bagaimanapun, saya rasa terharu apabila diberi kepercayaan. Kami juga diberi latihan intensif selama dua bulan untuk menjayakan filem ini. Bimbang jika saya kecewakan pengarah sekiranya tidak dapat memenuhi apa yang diinginkan.

Selain filem OlaBola, ada perkembangan lain yang boleh anda kongsikan kepada peminat?

BRONT: Buat masa sekarang ini saya berehat di rumah sahaja, jadi house husband sekejap (ketawa). Bukan apa, ada beberapa projek yang akan datang yang belum diberi kata putus lagi. Ada dua cerita yang akan dijangka ditayangkan pada Julai nanti iaitu My Stupid Boss dan Headshot.

LUQMAN: Sebelum ini saya sudah mempunyai kerja tetap. Bagaimanapun, saya ambil keputusan untuk berhenti dan memberi fokus kepada filem ini. Jadi, sekarang ini memang saya hanya sibuk mempromosikan filem OlaBola.

Previous Post Next Post