FAIZAL menyifatkan lagu Assalamualaikum sebagai mesej kemanusiaan kepada masyarakat.
APA lagi agaknya kepuasan yang dicari Faizal Tahir selepas hampir sedekad mewarnai industri seni tempatan.
Dianggap sebagai seorang tokoh dalam industri hiburan, pastinya tahap kepuasan pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 38, tidak lagi sekadar berpaksikan muzik semata-mata.
“Sebagai figura umum, saya harus sentiasa memberikan sesuatu kepada masyarakat dan bukan sekadar bermain muzik.
“Saya benar-benar berharap supaya dapat menjadi ikutan anak muda supaya generasi kini dapat bersama saya bagi membentuk masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.
Menurut Faizal, dia sentiasa mencari peluang untuk melakukan kerja-kerja amal dan antara yang pernah dilakukannya termasuklah menganjurkan konsert amal One Moment For Them, selain menyertai aktiviti badan bukan kerajaan seperti Region of Love bagi membantu golongan gelandangan di ibu negara.
“Saya hanya mahu mereka tersenyum dan memberikan aura positif. Saya juga enggan terlalu cepat berpuas hati dalam setiap keputusan kerana pastinya sentiasa ada yang lebih besar dalam setiap langkah yang diambil,” jelasnya lagi.
Kembali mewarnai pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 pada 24 Januari ini menerusi lagu Assalamualaikum selepas kali terakhir beraksi di pentas sama empat edisi terdahulu, Faizal sama sekali tidak pernah menganggap ia sebagai penampilan semula.
“Alhamdulillah, sangat bersyukur dan seronok selepas tiga tahun tidak bersama AJL. Saya tidak menganggap ini sebagai penampilan semula kerana tidak pernah menjangka kembali ke pentas final.
“Justeru, hanya mahu memberikan persembahan terbaik dan tidak menaruh harapan tinggi untuk menang. Yang paling utama, mesej lagu itu berjaya disampaikan kepada semua orang,” ungkapnya.
Faizal juga tidak merancang untuk melakukan sesuatu persembahan yang ekstravaganza seperti mana identitinya setiap kali menjayakan pentas final AJL sebelum ini.
“Saya pernah membakar piano, berada dalam akuarium dan memotong rambut di atas pentas. Mungkin untuk kali ini, saya enggan terlalu berlebihan.
“Lagu itu juga menggambarkan keikhlasan, jadi tidak perlu sesuatu yang terlalu gempak. Tidak mustahil ada idea yang luar biasa selepas ini, cuma buat masa sekarang tidak terfikir lagi,” ceritanya.
Mengulas lanjut, Faizal juga menyifatkan Tomok berjaya melaksanakan tugas dengan cukup sempurna ketika membawakan lagu Assalamualaikum di peringkat separuh akhir sebelum ini.
“Tomok memang pilihan pertama untuk membawakan lagu itu, belum pasti saya dapat melakukan yang terbaik sepertinya dalam tempoh singkat jika saya berada di tempat Tomok.
“Saya juga menganggap lagu ciptaan bersama Mike Chan, Omar K, Ezra Kong dan Audi Mok ini hadir tepat pada masanya kerana membawakan mesej ke seluruh dunia berhubung kemanusiaan,” jelasnya.
Pada masa sama, Faizal juga tidak berkecil hati dengan kritikan segelintir yang mempertikaikan satu lagi lagu ciptaannya, Knock Knock nyanyian Elizabeth Tan yang turut mara ke final AJL kali ini.
“Saya juga ada pilihan sendiri, jadi saya menghormati keputusan juri. Mungkin, ada sesuatu yang saya tak nampak terhadap kekuatan lagu itu. Jadi, saya tidak kecil hati jika ada yang persoalkan,” ujarnya yang dijangka tampil dengan album baharu selewat-lewatnya April depan.
Tanpa berselindung, Faizal mengakui pada mulanya berat hati untuk berduet dengan Elizabeth merakamkan lagu Setia yang kini semakin menggamit perhatian.
“Saya menghormati Elizabeth, namun lagu itu bukan cabaran baharu buat saya. Saya memang tidak suka kerana tidak kena dengan jiwa, jadi saya enggan jadi hipokrit.
“Cuma apabila diminta sebuah produksi untuk menjadikan lagu itu sebagai sound track drama Mencintaimu, saya berasakan apa salahnya kerana tidak rugi apa-apa,” ujarnya.