Sharnaaz Ahmad, Saya bukan anak emas Astro


SHARNAAZ lebih suka bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana stesen TV.

WAJAH aktor kontroversi, Sharnaaz Basir Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sharnaaz Ahmad semakin mendapat tempat di hati peminat seni tanah air sejak kemunculannya menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang ditayangkan di saluran Mustika HD (Astro 134) tahun lalu.

Sharnaaz yang memegang watak Jebat dalam drama bersiri 60 episod itu sudah mampu mengukir senyuman manis kerana berjaya memikat hati penonton sehingga drama tersebut meraih jumlah penonton yang tinggi melebihi 600,000.

Lebih mengujakan, kemunculannya menerusi drama rantaian berjudul Patah Seribu, Di Bawah Lindungan Kaabah dan disusuli dengan drama terbaharu lakonannya berjudul Suamiku Encik Sotong yang disiarkan di Astro Ria mengembangkan lagi pengaruhnya sebagai seorang aktor serba boleh apabila berjaya mengalas watak sebagai lelaki lembut buat pertama kalinya.




Bagaimanapun, timbul tanda tanya daripada segelintir pihak apabila wajahnya acap kali menembusi tembok kukuh stesen televisyen (TV) berbayar, Astro itu sejak akhir-akhir ini.

Biarpun begitu, bertemu Sharnaaz di lokasi penggambaran drama bersiri terbaharunya berjudul Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa di Hulu Langat, Selangor yang bakal disiarkan di Mustika HD pada bulan Jun depan, Sharnaaz dengan tenang menafikan dakwaan dia merupakan anak emas stesen berkenaan.

“Saya pernah ditawarkan menjadi Bintang Eksklusif Astro ketika aktif berlakon di bawah arahan Michael Ang. Bagaimanapun entah di mana silapnya, tawaran itu senyap sehingga ke hari ini.

“Terus terang, saya bukan anak emas sesiapa, cuma saya anak emas kepada kedua ibu bapa sahaja.

“Bagi saya, rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Selagi Tuhan izinkan saya berlakon letaklah di mana-mana stesen pun, insya-Allah, saya boleh mengembangkan karier lakonan saya dalam industri seni,” jelas Sharnaaz ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Tambah Sharnaaz, dia lebih selesa bergerak sendiri daripada terikat dengan mana-mana stesen TV.

“Saya lebih selesa menguruskan kerjaya seni sendiri, selain merasakan diri ini tidak sesuai untuk diikat dengan mana-mana kontrak. Lagipun sepanjang berada dalam industri, saya bergerak sendiri,” ujar Sharnaaz yang kini berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan membuka sebuah gimnasium di Segambut, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut mengenai pembukaan gimnasium Sharnaaz Ahmad Fitness Centre yang dibuka pada November tahun lalu, katanya, setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Alhamdulillah sejak dibuka pada November tahun lalu, gimnasium yang kini beroperasi di Segambut mendapat sambutan positif.

“Lagipun, gimnasium itu saya buka untuk masyarakat dengan mengenakan bayaran sebanyak RM5 sahaja untuk sekali masuk. Saya kira, harga yang ditawarkan itu sangat berbaloi untuk semua golongan,” kongsi Sharnaaz yang bakal muncul dengan produk kesihatan untuk lelaki dalam masa terdekat.

Menyentuh mengenai kisah cintanya dengan model, Anis Al-Idrus, kata Sharnaaz, dia belum terfikir untuk melanjutkan perhubungan ke fasa seterusnya.

“Sejujurnya, saya belum lagi terfikir untuk menamatkan zaman bujang. Saya serahkan soal jodoh pada takdir kerana saya percaya jodoh itu akan tiba bila waktunya.

“Lagipun Anis masih muda dan dia kini sedang aktif dalam bidang pengacaraan dan perniagaan.

“Bagi saya, biarlah kami berdua capai kerjaya impian terlebih dahulu,” jelas Sharnaaz sambil memberitahu, selepas tamat penggambaran ini, dia mahu berehat selama dua minggu selepas tiada masa untuk memanjakan dirinya.



Previous Post Next Post