Fasa matang seorang Najwa Latif



Gadis ini tidak seperti selebriti lain. Katalah apa sahaja mengenai imejnya, dia tetap bersederhana dalam pemakaian. Dia tidak mudah terikut-ikut fesyen remaja terkini. Dia ialah Najwa Latif, 20. Comel dan mudah mesra. Cuma, bezanya kini, tutur kata penyanyi lagu Hilang ini jauh lebih matang.

Dalam senyuman yang tidak pernah tawar, gadis berasal dari Batu Pahat, Johor ini mensyukuri dengan segala nikmat kehidupan yang diperolehnya ketika ini.




“Alhamdulillah, kehidupan saya semakin baik. Saya seronok dan menghargai setiap momen yang terjadi dalam kehidupan sehari-hari. Saya bersyukur pada usia 19 tahun, sudah habis pengajian dalam bidang asas pengurusan. Ada tiga tahun lagi untuk saya habiskan pada pengajian saya,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris pengkhususan TESOL (Pengajaran Bahasa Inggeris Kepada Penutur Bahasa Lain).

Lancar dalam pengajiannya, perjalanan karier nyanyiannya pula tidak pernah terhenti.

Dalam pada sibuk belajar, Najwa juga mendapat kebebasan untuk merakamkan album terbaharunya.

“Universiti berikan saya kebebasan. Jika tidak sibuk belajar atau peperiksaan, saya akan masuk studio untuk merakamkan lagu. Buat masa ini, album terbaharu saya tinggal 15 peratus lagi untuk siap,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan telefon bimbit terbaharu keluaran Samsung Galaxy A3 dan A5 baru-baru ini.

Matang dalam tutur kata dan usia, Najwa mengakui, album keduanya itu juga jauh lebih matang daripada album pertamanya.

Kongsinya, album terbaharunya itu juga berisi tujuh buah lagu ciptaannya bersama kakak, Syafikah Latiff. Sementara tiga lagi lagu daripada komposer lain.

“Saya kini sedang sibuk menyiapkan album kedua. Album ini memperlihatkan sisi saya yang lebih matang. Buat pertama kalinya juga, album saya berisi lagu Inggeris, Only Yours dan lagu berbahasa Mandarin, Ni Bu Zhe Dao De Shi nyanyian asal penyanyi terkenal China, Wang Lee Hom,” katanya.

Masih belum mempunyai judul pada album terbaharunya, namun, perkataan Gadis menarik perhatiannya.

“Cadangnya saya mahu letak nama Gadis pada album ini. Tetapi, semuanya masih dalam perancangan,” katanya.

Berkongsi momen 2014 Najwa, ada momen yang menyengat dan menusuk di kalbunya sepanjang 2014. Bagaimanapun, semua momen tersebut berupa kemanisan buat penyanyi lagu Cinta Muka Buku ini.

Najwa mengakui, segala apa yang dirancangnya tahun lalu semuanya dapat dilaksanakan. Bahkan, dia juga berjaya meluangkan masa bercuti bersama keluarga di beberapa buah negara.

“Alhamdulillah, segala apa yang saya rancang pada tahun lalu dapat dilaksanakan. Saya dapat bawa keluarga pergi bercuti di beberapa tempat seperti Bandung, Indonesia; Sydney, Australia; Korea dan Jepun,” kongsinya lagi.



Previous Post Next Post