Di mana Urban Method?


HUBUNGAN Urban Method masih akrab meskipun tidak lagi aktif dalam lapangan seni.

SEKITAR tahun 2007, sekumpulan pemuda yang menggelarkan mereka Urban Method pernah disoroti percikan aura popular gara-gara lagu Wajah Rahsia Hati yang dinyanyikan semula bersama penyanyi asal, Ogy Datuk Ahmad Daud ‘meletup’ di pasaran.

Bagaikan layu sebelum mekar, Urban Method tiba-tiba hilang di sebalik kemunculan artis-artis baharu tempatan biarpun tidak sampai sedekad mewarnai industri seni tanah air.

Entah apa puncanya, Urban Method yang dianggotai Mohd. Munawir Anuar (Naweer), 34; Ahmad Sayuti Ibrahim (Chique),33; Muneer Khan Nazir Khan (Muneer),30, dan Hazairi Basha Mohd. Jamel Basha (Jay),33, ini dilihat seakan-akan hilang tanpa sebarang berita.

Spekulasi kumpulan bergenre hip hop ini telah dibubarkan selama-lamanya juga bertambah kuat selepas salah seorang anggota Urban Method, Mahathir mengundur diri ketika nama mereka masih berada di puncak kemasyhuran sedikit masa lalu, namun ia dinafikan oleh Chique.




“Kami masih bersama dan tidak pernah dibubarkan.

“Cuma, kami tidak lagi seaktif dahulu di persada muzik tanah air kerana komitmen dan kerjaya masing-masing. Muzik masih lagi sebati dengan kami yang kini bergerak secara pasif di belakang tabir,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Satu-satunya ahli kumpulan yang telah berumah tangga, Jay pula menjelaskan, mereka menghormati keputusan yang dibuat Mahathir untuk tidak lagi bersama Urban Method.

“Ia keputusan peribadi yang dibuat sendiri Mahathir tanpa sebarang paksaan bagi meneruskan karier solonya. Hubungan kami tetap baik, sama seperti dulu. Jadi, kami membuat keputusan meneruskan perjuangan Urban Method dengan berempat saja,” jelas Jay.

Seorang lagi ahli Urban Method, Naweer pula memberitahu, mereka bakal membuat kemunculan semula bersama single baharu selepas ini.

“Segala-galanya masih dalam perancangan rapi. Setelah semuanya benar-benar bersedia, baru kami akan tampil dengan produk terbaru untuk menemui pendengar,” katanya.

Getus Naweer, Urban Method juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Zizan Razak dalam mana-mana projek di masa depan.

“Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Zizan untuk single ketiga kami, namun atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, usahasama tersebut tidak dapat dikeluarkan.

“Walaupun single itu tidak dapat dikeluarkan, kami amat berterima kasih kepada Zizan yang sudi meluangkan masa dan tenaga untuk kami,” cerita Naweer lagi.

Muneer pula menafikan single kedua mereka sebelum ini dikatakan mirip lagu nyanyian Awie, Jong Jong Inai sedikit masa lalu.

“Ini kali pertama kami mendengar perkara itu.

“Sebenarnya, ia langsung tidak sama kerana susunan muzik, lirik dan keseluruhan konsep lagu itu berbeza.

“Mungkin, kekeliruan timbul kerana kami turut menggunakan sampel lagu rakyat (Jong Jong Inai) dalam lagu tersebut,” jelas Muneer.

Menyentuh mengenai perkembangan peribadi masing-masing, Muneer menjelaskan dia dan Chique kini menetap di Pulau Pinang, sementara Naweer dan Jay pula bermastautin di Kuala Lumpur.

“Kami masih aktif bermain muzik mengikut kelapangan masing-masing, cuma jarak dan masa yang terhad membataskan kami untuk berkarya bersama.

“Jika ada peluang untuk kembali, sudah semestinya kami tidak akan lepaskan,” getus Muneer.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan karier Urban Method bolehlah layari www.facebook.com/urbanmethod.



Previous Post Next Post